Friday 23 December 2011

PENGHAYATAN ILMU

Pejam-celik pejam-celik, baru sahaja rasanya kita menghadiri kuliah-kuliah dan majlis-majlis ilmu di UKM. Kini, kita sudah memasuki saat yang sangat genting dan mendebarkan dalam hidup seorang mahasiswa, iaitu saat menghadapi peperiksaan akhir.

Bagi mahasiswa/i baru, peperiksaan akhir kali ini merupakan ujian pertama buat mereka. Peperiksaan ini sebenarnya menjadi kayu pengukur untuk mengetahui sejauh mana pemahaman mereka terhadap subjek yang diajar di universiti.

Tips-tips Menghadapi Peperiksaan

Berdoa
1.       1. Bersih diri daripada segala dosa.
2.       2.  Berbuat baik kepada ibubapa.
3.       3. Solat Hajat.
4.       4.  Menjaga hubungan dengan Allah.
5.       5. Gunakan masa semaksima mungkin

Berusaha
1.       1. Bentuk suasana belajar yang kondusif
2.       2. Membuat Study Group
3.       3. Bertanya pensyarah
4.       4. Tentukan keutamaan subjek
5.       5. Membuat nota ringkas
6.       6. Membuat jadual belajar
7.       7. Menjawab soalan-soalan lepas
8.       8. Mengulang-ulang fakta
9.       9. Memberi tumpuan kepada subjek lemah
10.   10.Mengikut rentak tersendiri

Ikhlas
1.       1. Nampak melalui amalan
2.       2. Tujuan belajar  bukan semata-mata untuk exam
3.       3. Teruskan membuat ulangkaji
4.       4. Dapat dilihat melalui persediaan seperti membuat perancangan awal dan sebagainya

Tawakkal
1.      1. Serah segala keputusan kepada Allah
2.       2. Dia tahu yang terbaik untuk kita
3.       3. Kurangkan aktiviti berat
4.       4. Elakkan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Tips Sebelum Memasuki Dewan Peperiksaan
1.      1. Semak jadual waktu dan tempat peperiksaan
2.       2. Pastikan membawa peralatan yang mencukupi
3.       3. Makan makanan ringan
4.       4. Pastikan datang seawal mungkin

Tips Semasa Menjawab Peperiksaan
1.      1. Menjawab dengan tenang
2.       2. Mengikuti arahan yang diberikan
3.       3. Menjawab persoalan yang ditanya
4.       4. Tidak membuang masa

Tips Selepas Peperiksaan
1.      1. Jangan berbincang soalan
2.      2. Membuat senaman ringkas
3.       3. Sediakan waktu rehat yang mencukupi
4.       4. Tawakkal kepada Allah

Ingatlah! Orang lain tidak boleh membuat perubahan untuk diri kita…
Ingatlah! Ibubapa dan masyarakat meletakkan harapan yang tinggi kepada kita...
Ingatlah! Bangsa dan Agama terletak dibahu kita…

Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan

Wednesday 7 December 2011

TRANSFORMASI HIJRAH

Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru hijrah yang ke- 1433. Semoga kedatangan tahun baru ini memberi kekuatan kepada kita untuk menambahkan nilai ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah taala.

Sinar Kegemilangan Umat Islam..

Umat Islam perlu bersyukur kerana mereka mempunyai sejarah yang agong pada suatu ketika dahulu. Namun, adakah cukup sekadar berbangga dengan peristiwa yang telah berlaku tanpa berfikir bagaimana untuk mempertahankan kegemilangan umat Islam?

Tuntutan Hijrah

Penghijrahan perlu dilakukan secara beransur-ansur bermula dari perkara-perkara  yang kecil sehinggalah kepada perkara-perkara yang besar.

Bagi yang meringan-ringankan solat, maka hijrah mereka ialah dengan menunaikan solat di awal waktu serta berjemaah.

Bagi mereka yang malas dalam mempelajari ilmu pengetahuan, hijrah mereka ialah dengan berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu pengetahuan.

Bagi mereka yang suka melakukan maksiat, hijrah mereka ialah dengan meninggalkan maksiat yang dilakukan.

Bagi mereka yang suka menghabiskan masa dengan perbualan dan perbuatan yang sia-sia, maka hijrah mereka ialah menggunakan masa yang diberikan dengan sebaik-baiknya.

Bagi mereka yang telah melakukan amal kebajikan, maka hijrah mereka adalah dengan tetap istiqamah melakukan amalan kebajikan tersebut serta berusaha memperbanyakkan amalan-amalan tersebut.

Kepentingan Hijrah

Jika masyarakat pada zaman jahiliyyah menanam anak perempuan hidup-hidup, kini masyarakat membunuh anak-anak tidak kira perempuan  mahupun lelaki. Jika dulu umat Islam ditindas, kini umat Islam dicaci dan dihina.
Maka, Hijrah mengajak kita supaya meninggalkan segala amalan jahiliyyah serta menggantikannya dengan amal Islami.

Hijrah dan Mahasiswa 

Kehidupan mahasiswa Islam kini berada dalam keadaan yang sangat mencabar. Penghayatan nilai-nilai Islam semakin terhakis. Pemuda-pemudi hilang jati diri serta arah hidup. Mereka disogokkan dengan nilai-nilai keduniaan yang melampau.

Hijrah yang perlu dilakukan oleh mahasiswa  Islam kini adalah dengan menukarkan sifat mazmumah kepada nilai mahmudah.

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada Hijrah Nabi SAW yang telah berjaya mengubah landskap masyarakat jahiliyyah taasubiyyah kepada umat Islam yang bersatu dibawah kalimah yang satu.

Barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, maka (nilai dan pahala) hijrahnya itu menuju Allah dan Rasulnya

Ghuraba' Setia

Ghuraba' Setia:

'via Blog this'

Monday 14 November 2011

Erti Sebuah Pengorbanan

Alhamdulillah, pada tahun ini Allah masih lagi memberi peluang kepada kita menyambut hari raya Idul al-Adha di kampung yang tercinta bersama keluarga.


Banyak peristiwa suka dan duka yang berlaku sepanjang seminggu bersama keluarga tercinta yang pasti tidak akan dilupakan.


Mungkin ada di antara kita yang kedua ibubapa atau saudaranya menunaikan haji di Makkah. Ada juga yang menyembelih kambing, lembu dan unta seperti tahun-tahun yang lalu.
Namun, adakah kita benar-benar memahami apakah makna sebenar sambutan hari raya Idul al-Adha atau sekadar menyambutnya secara adat sahaja?

Kisah Sebuah Pengorbanan Suci
Al-Quran menceritakan kisah pengorbanan suci Nabi Ibrahim a.s bersama anakandanya yang tercinta iaitu Nabi Ismail a.s. Mesej yang terdapat di dalam kisah tersebut ialah kesediaan mereka dalam menyerahkan segala-galanya hatta jiwa dan raga semata-mata untuk keredaan Allah.

Bentuk-bentuk Pengorbanan
1.    Masa
2.    Harta
3.    Jiwa


Pengorbanan Dalam Konteks Mahasiswa
Sebagai seorang mahasiswa, banyak perkara yang menuntut pengorbanan. Antaranya ialah :
1.    Mengorbankan masa lapang untuk mempelajari ilmu-ilmu yang berfaedah.
2.    Mengorbankan wang untuk membeli alat-alatan dan keperluan belajar.
3.    Mengorbankan jiwa dalam  mempertahankan maruah diri serta menegakkan kebenaran.

Di dunia ini tiada jihad yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan untuk Islam tidak akan disia-siakan, sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka.” (Al-Taubah: 111)

“Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah..” (Al-Taubah: 120)

“Jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik. “(Al-Fath: 16)

Erti sebuah pengorbanan..
Idul al-Adha mengajar kita erti sebenar sebuah pengorbanan. Pengorbanan ini sangat dituntut lebih-lebih lagi di saat manusia sibuk dan alpa dengan kehidupan dunia..

“Mati di jalan Allah, cita-cita tertinggi kami.”

Thursday 27 October 2011

Berbahagialah Sang Ghuraba'

Perjuangan Islam bermula dalam keadaan asing atau dagang (gharib). Berdepan dengan manusia jahiliah yang rendah upaya untuk membezakan antara haq dan bathil. Sistem nilai yang kabur diselaputi fahaman syirik dan kebendaan. Mereka merajakan nafsu dan mempertuhankan aqal. Rasuulul ummah saw. sebagai utusan Allah swt. difitnah, dinista dan dicerca. Risalahnya ditertawa dan menjadi bahan lelucon ummat jahiliah.

     Islam dibawa untuk menyelamatkan ummah. Risalahnya disasarkan kepada semua kecuali mereka yang tekun dan konsisten memerangi Islam. Slogan yang dibawa oleh Pendakwah Agong saw. ialah (Aslim Taslam ) Terima Islam Engkau Selamat. Serendah - serendah pangkat manusia seperti lelaki gasar di padang pasir sehinggalah setinggi - tinggi pangkat manusia seperti raja di istana menjadi sasaran risalah Islam.

     Islam didokong dan diperjuangkan dengan gigih tanpa peduli pahit getir. Islam digalas dan dipertahankan dengan tabah tanpa peduli susah sukar. Gurun sahara diredah dan lautan luas diharungi demi menyemarakan kebangkitan Islam dan mendaulatkan syariatnya. Sabar membelah masa dan merempuh waktu menanti detik janji Allah ditunaikan. Tidak mengenal erti putus asa dan kecewa.     

     Akhirnya Islam tegak berdaulat dengan bertiangkan aqidah, berdindingkan syariat, berbumbungkan jihad dan berlantaikan akhlak. Bumi diimarahkan dengan peraturan dan manhaj rabbani. Keadilan merata kepada semua tanpa membezakan latar belakang agama, bangsa, kaum dan bahasa lidah. Keamanan dan kesejahteraan dinikmati, bukan sahaja oleh manusia bahkan binatang dan tumbuhan.

     Namun Nabi saw telah menegaskan yang bermaksud:

"Telah bermula Islam dalam keadaan asing , kelak ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah mereka yang asing (tetap bersama Islam)."

     Hari ini Islam kembali ditertawa. Syariat dan syiar Islam dipersenda. Kerja dakwah menjadi bahan lelucon. Dunia kembali menganggap pelik cara kita berjuang dan mengajak ummat manusia kembali kepada Islam dan perjuangannya. Menyeru dan mengajak orang menyertai perjuangan Islam dianggap kerja bodoh sebagaimana tanggapan ummat jahiliah. Firman Allah swt yang bermaksud:

"Dan apabila diseru kepada mereka , Berimanlah sebagaimana berimannya manusia yang lain. Mereka menjawab : Apakah kami akan beriman sebagaimana berimannya orang - orang yang bodoh. Ketahuilah sesungguhnya merekalah orang - orang yang bodoh akan tetapi mereka tidak mengerti." - Surah al Baqarah : Ayat 13

     Sungguhpun Islam kembali menjadi asing dan pejuangnya ditertawa dan diperbodohkan, ianya adalah sunnah yang telah dijanjikan kebahagiaannya oleh Rasulullah saw kepada mereka yang tetap gigih berjuang, berjihad dan berdakwah. Biarpun Nabi saw telah sekian lama meninggalkan ummah, namun kesediaan para pejuang menggalas tugas besar untuk menyelamatkan manusia dari neraka Allah adalah tugas berat yang penuh dengan kemuliaan. Istiqamah dan  iltizam bersama kerja - kerja amal Islami biarpun disinis dan disindir tajam, ia adalah ghuraba' yang dijanjikan kebahagiaan oleh Rasulullah saw.

     Biarpun seribu manusia sedang mentertawakan gerakkerja Amal Islami yang dilakukan oleh saudara, lalu menganggap dakwah saudara sebagai suatu lelucon dan kebodohan politik, yakin lah saudara sedang menjadi manusia dagang dan asing dengan Islam yang diperjuangkan. Sedang Rasulullah saw pernah menegaskan : 

"Berbahagialah Sang Ghuraba'"

Nasrudin bin Hassan 

Tuesday 20 September 2011

JAHILIYAH MODEN

JAHILIYAH MODEN
Oleh : MOHD SHAUKI ABD MAJID

Berkali-kali al-Quran dan sunnah memperingatkan betapa bernilainya hidup makhluk ciptaan Allah s.w.t. Jangankan manusia yang telah menginjakkan kaki di persada bumi, janin yang baru berada dalam perut ibu pun, meski masih pada proses awal, bahkan binatang dan tumbuh-tumbuhan dilarang untuk dicabut hidup-hidup, kecuali berdasarkan ketentuan yang dibenarkan Allah s.w.t.

Realitinya, isu pembuangan dan pembunuhan bayi yang kian bermaharajalela di negara kita mengingatkan kita pada zaman sebelum kedatangan Islam, iaitu zaman jahiliah. Pada zaman jahiliah, mereka membuang bayi-bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga mereka.
Manakala pada zaman di mana Islam telah bertapak kukuh, bayi-bayi perempuan mahupun lelaki dibuang umpama sampah. Sungguh ironis dan kejam. Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat sekarang jika bayi yang tidak berdosa yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu sahaja?

Di dalam Islam, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk mendidik anak-anak. Sikap tidak bertanggungjawab dan tidak mahu memelihara anak-anak sebenarnya melambangkan sikap tidak berperikemanusiaan. Sedangkan haiwan sayangkan anaknya, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya.
Terdapat tiga alasan yang diisyaratkan al-Quran dan sunnah bagi pembunuhan bayi pada zaman jahiliah.

Pertama, di kalangan ibu bapa yang miskin dengan kelahiran anak perempuan menurut mereka tidak dapat memberi apa-apa faedah, malahan menyusahkan. Menurut mereka, anak perempuan tidak produktif. Untuk alasan ini, diperingatkan di dalam al-Quran, yang bermaksud: ‘‘Kami yang akan memberi rezeki kepadamu (hai para orang tua) dan kepada mereka (anak-anakmu).’’ (Al-An‘am: 151)

Kedua, kebimbangan anak-anak akan terjerumus dalam lembah kemiskinan apabila mereka dewasa kelak. Untuk mereka ini, Allah s.w.t mengingatkan bahawa (yang bermaksud): ‘‘Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka (anak-anak) dan juga kepadamu.” ( Al-Isra’: 31)

Ketiga, mereka khuatir akan menanggung aib, akibat ditawan dalam peperangan sehingga diperkosa atau akibat perzinaan. Itulah sebabnya, maka, ‘‘Apabila salah seorang di antara mereka diberi khabar tentang kelahiran anak perempuan, hitam (mukanya merah padam) dan dia sangat marah.” ( Al- Nahl: 58)

Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan anak pada masa jahiliah moden ini bukan kerana takut miskin tetapi perbuatan keji yang mereka lakukan itu kerana untuk menutup malu yang menimpa mereka setelah berlaku perzinaan.
Jika pada zaman jahiliah mereka membunuh antara lain kerana khuatir anak diperkosa atau berzina, maka pada masa jahiliah moden ini anak dibunuh kerana ibunya sendiri diperkosa atau telah berzina.

Pada zaman jahiliah, anak dibunuh oleh mereka yang tidak berpengetahuan, dan yang belum mengenal apa yang dinamakan hak asasi manusia. Tetapi pada zaman jahiliah moden ini anak dibunuh oleh ibu bapa dan doktor atau bidan yang berpengetahuan.

Apa pun alasan, pelaku pembunuhan bayi mutakhir ini sebenarnya lebih buruk dan kejam daripada alasan mereka yang terpaksa melakukan pembunuhan bayi pada masa lampau.
Pembunuhan bayi perempuan atau anak-anak pada masa turunnya al-Quran dilakukan oleh beberapa kabilah sahaja. 

Kononnya, yang pertama melakukan pembunuhan dan penanaman hidup-hidup anak perempuan adalah Bani Rabiah, diikuti oleh Bani Kindah dan sebahagian anggota suku Bani Tamim. Kabilah Quraisy serta keturunannya dikatakan tidak pernah terlibat dalam kancah ini. Kerana itu, riwayat yang mengatakan bahawa Umar bin Khattab r.a pernah menanam hidup-hidup anak perempuannya, tidak dinilai sebagai riwayat yang sahih oleh pakar-pakar sejarah.

Perlu dicatat bahawa penguburan anak perempuan hidup-hidup bukanlah adat kebiasaan yang direstui oleh masyarakat jahiliah. Oleh hal demikian itu, sebahagian suku bahkan memberikan tebusan kepada orang tua yang bermaksud atau berniat menanam hidup-hidup anak-anak perempuan mereka.

Pada zaman jahiliah moden ini, kita berhadapan dengan krisis ‘kebutaan minda’ yang memerlukan usaha yang bersepadu daripada pelbagai pihak bagi mengembalikan akal budi ke tempat yang selayaknya, bukan diletakkan di tempat yang memungkinkan lagi berleluasa keruntuhan keperibadian dan jati diri ummah.