Monday 14 November 2011

Erti Sebuah Pengorbanan

Alhamdulillah, pada tahun ini Allah masih lagi memberi peluang kepada kita menyambut hari raya Idul al-Adha di kampung yang tercinta bersama keluarga.


Banyak peristiwa suka dan duka yang berlaku sepanjang seminggu bersama keluarga tercinta yang pasti tidak akan dilupakan.


Mungkin ada di antara kita yang kedua ibubapa atau saudaranya menunaikan haji di Makkah. Ada juga yang menyembelih kambing, lembu dan unta seperti tahun-tahun yang lalu.
Namun, adakah kita benar-benar memahami apakah makna sebenar sambutan hari raya Idul al-Adha atau sekadar menyambutnya secara adat sahaja?

Kisah Sebuah Pengorbanan Suci
Al-Quran menceritakan kisah pengorbanan suci Nabi Ibrahim a.s bersama anakandanya yang tercinta iaitu Nabi Ismail a.s. Mesej yang terdapat di dalam kisah tersebut ialah kesediaan mereka dalam menyerahkan segala-galanya hatta jiwa dan raga semata-mata untuk keredaan Allah.

Bentuk-bentuk Pengorbanan
1.    Masa
2.    Harta
3.    Jiwa


Pengorbanan Dalam Konteks Mahasiswa
Sebagai seorang mahasiswa, banyak perkara yang menuntut pengorbanan. Antaranya ialah :
1.    Mengorbankan masa lapang untuk mempelajari ilmu-ilmu yang berfaedah.
2.    Mengorbankan wang untuk membeli alat-alatan dan keperluan belajar.
3.    Mengorbankan jiwa dalam  mempertahankan maruah diri serta menegakkan kebenaran.

Di dunia ini tiada jihad yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan untuk Islam tidak akan disia-siakan, sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka.” (Al-Taubah: 111)

“Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah..” (Al-Taubah: 120)

“Jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik. “(Al-Fath: 16)

Erti sebuah pengorbanan..
Idul al-Adha mengajar kita erti sebenar sebuah pengorbanan. Pengorbanan ini sangat dituntut lebih-lebih lagi di saat manusia sibuk dan alpa dengan kehidupan dunia..

“Mati di jalan Allah, cita-cita tertinggi kami.”