Thursday 29 March 2012

Hadith 5 : Sikap Tamak Membawa Padah


حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَمُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ قَالَا حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ بُرَيْدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ دَخَلْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا وَرَجُلَانِ مِنْ بَنِي عَمِّي فَقَالَ أَحَدُ الرَّجُلَيْنِ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمِّرْنَا عَلَى بَعْضِ مَا وَلَّاكَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَقَالَ الْآخَرُ مِثْلَ ذَلِكَ فَقَالَ إِنَّا وَاللَّهِ لَا نُوَلِّي عَلَى هَذَا الْعَمَلِ أَحَدًا سَأَلَهُ وَلَا أَحَدًا حَرَصَ عَلَيْهِ

Maksudnya : Abu Bakr bin Abi Shaibah dan Muhammad bin al-cAla' telah menceritakan kepada kami, Abu Usamah telah menceritakan kepada kami  daripada Buraid bin Abdullah daripada Abi Burdah daripada Abu Musa dia berkata, "Saya dan dua orang anak sepupuku menemui Nabi SAW lalu berkata salah seorang daripada keduanya, "Wahai Rasulallah, lantiklah kami sebagai pemimpin di mana-mana wilayah yang telah diberikan Allah cAzz wa Jall kepadamu." Dan seorang lagi mengucapkan perkataan yang sama, maka baginda SAW bersabda: "Demi Allah, sesungguhnya kami tidak akan memberi jawatan kepada orang yang meminta dan yang rakus terhadapnya."[1]

5.1       Makna Seerti
Bil
Kalimah
Makna Seerti
1.
لَا نُوَلِّي
Kami tidak akan menolong 
2.
حَرَصَ عَلَيْهِ
Sangat berkehendak terhadap sesuatu

5.3       Sharh al-Hadith
Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith berkaitan dengan permasalahan ini seperti berikut :
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ بُرَيْدٍ عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ دَخَلْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا وَرَجُلَانِ مِنْ قَوْمِي فَقَالَ أَحَدُ الرَّجُلَيْنِ أَمِّرْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَقَالَ الْآخَرُ مِثْلَهُ فَقَالَ إِنَّا لَا نُوَلِّي هَذَا مَنْ سَأَلَهُ وَلَا مَنْ حَرَصَ عَلَيْهِ
Maksudnya : Muhammad bin al-cAla' telah menceritakan kepada kami, Abu Usamah telah menceritakan kepada kami  daripada Buraid daripada Abi Burdah daripada Abu Musa RA dia berkata, "Saya dan dua orang anak sepupuku menemui Nabi SAW lalu berkata salah seorang daripada keduanya, "Wahai Rasulallah, lantiklah kami sebagai pemimpin." Dan seorang lagi mengucapkan perkataan yang sama, maka baginda SAW bersabda: "Demi Allah, sesungguhnya kami tidak akan memberi jawatan kepada orang yang meminta dan yang rakus terhadapnya”.[2]

Hadith ini menerangkan tentang orang-orang yang dikurniakan kebahagiaan dan kegembiraan tidak akan menghiraukan pelbagai kesusahan dan kepayahan hidup. Mereka tidak sedikitpun takut dipandang hina semasa hidup di dunia, namun mereka berfikir bagaimana sekiranya mereka dicela dan dihina dihadapan Allah di akhirat kelak. Inilah perjuangan hidup sebenar yang perlu ditempuhi oleh umat Islam. Inilah semangat yang perlu dipupuk oleh masyarakat sekarang.

            Al-Qadi al-Baidawi berkata, “Tidak sepatutnya bagi orang yang berakal mengambil keseronokan sementara di dunia serta menggantinya dengan hukuman buruk di akhirat yang membawa penyesalan kepadanya”. Al-Muhallab berkata, “Sikap tamak akan jawatan merupakan salah satu punca kepada berlakunya pembunuhan di antara manusia. Bukan itu sahaja, bahkan pertumpahan darah, perebutan harta dan kekayaan serta kebanyakan masalah yang berlaku adalah berpunca daripadanya. Setelah perkara tersebut berlaku, timbul rasa penyesalan di dalam diri manusia kerana terperangkap di dalam satu agenda yang telah dirancang oleh mereka sendiri. Dalam masa yang sama mereka merasakan bahawa segala usaha yang dilakukan sebelum ini tidak berguna lagi”.

            Seseorang yang dilantik kerana kematian pengurus serta tidak ada pengganti lain selain daripada dirinya tidak termasuk di dalam kategori meminta-minta sesuatu jawatan. Hal ini demikian kerana jika seseorang itu tidak terlibat di dalam pekerjaan tersebut, akan terjadi kerugian dan kerosakan yang lebih besar kepada sesuatu organisasi. Perkara ini tidak bertentangan dengan hadith di atas, bahkan menjelaskan lagi tentang keadaan orang yang bercita-cita kepada sesuatu jawatan iaitu seseorang yang melakukan sesuatu pekerjaan kerana bimbang akan kehilangan jawatannya. Sementara orang yang diberi sesuatu jawatan tanpa diminta tidak bimbang dengan kehilangan jawatannya.   

2.4       Pengajaran Hadith

1. Seseorang yang mendapat sesuatu jawatan sesuai dengan kelayakannya lebih berhak mendapatkan jawatan tersebut.

2. Seorang pemimpin diwajibkan memilih dan melantik seorang qadi yang berkelayakan untuk menggubal undang-undang sesebuah negara.

3. Seorang qadi berhak memilih samada menerima atau menolak perlantikan daripada pemimpin jika dirasakan orang lain lebih layak.


[1]Hadith riwayat Imam Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Larangan Meminta-minta Jawatan dan Rakus Terhadapnya, Hadith no.3402.  Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, Bab Makruh Meminta-minta Jawatan Pemimpin, Hadith no.6616

[2] Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, Bab Makruh Meminta-minta Jawatan Pemimpin, Hadith no.6616

Monday 26 March 2012

Hadith 4 : Larangan Meminta-minta Jawatan dan Tamak Terhadapnya

حَدَّثَنَا شَيْبَانُ بْنُ فَرُّوخَ حَدَّثَنَا جَرِيرُ بْنُ حَازِمٍ حَدَّثَنَا الْحَسَنُ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَمُرَةَ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ أُكِلْتَ إِلَيْهَا وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا و حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ يُونُسَ ح و حَدَّثَنِي عَلِيُّ بْنُ حُجْرٍ السَّعْدِيُّ حَدَّثَنَا هُشَيْمٌ عَنْ يُونُسَ وَمَنْصُورٍ وَحُمَيْدٍ ح و حَدَّثَنَا أَبُو كَامِلٍ الْجَحْدَرِيُّ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ عَنْ سِمَاكِ بْنِ عَطِيَّةَ وَيُونُسَ بْنِ عُبَيْدٍ وَهِشَامِ بْنِ حَسَّانَ كُلُّهُمْ عَنْ الْحَسَنِ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ سَمُرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمِثْلِ حَدِيثِ جَرِيرٍ

Maksudnya : Shaiban bin Farukh telah menceritakan kepada kami , Jarir bin Hazim telah menceritakan kepada kami, al-Hasan telah menceritakan kepada kami, cAbd al-Rahman bin Samurah telah menceritakan kepada kami, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Wahai cAbd al-Rahman, janganlah kamu meminta jawatan, sebab jika kamu diberi jawatan kerana permintaan maka tanggungjawabnya akan dibebankan kepadamu. Namun jika kamu dilantik tanpa permintaan, maka kamu akan diberi pertolongan.”[1] 

4.1       Makna Seerti
Bil
Kalimah
Makna Seerti
1.
الْإِمَارَةَ
Berasal daripada kalimah “الأمير” yang memberi maksud pemimpin
2.
أُكِلْتَ إِلَيْهَا
Dibebankan dengan bebanan tanggungjawab tanpa pertolongan daripada Allah
3.
أُعِنْتَ عَلَيْهَا
Diberi pertolongan oleh Allah

4.2       Sharh al-Hadith

Hadith ini menjelaskan kepada kita tentang larangan Nabi SAW terhadap orang-orang yang meminta-minta sesuatu jawatan serta bermegah-megah dengan jawatan tersebut. Di dalam Islam, seseorang yang meminta-minta jawatan dilihat sebagai seorang yang tidak mempunyai jati diri yang tinggi serta mengharapkan belas ihsan daripada orang lain kecuali mereka yang benar-benar mempunyai pengalaman dan keahlian dalam bidang tersebut.

Terdapat beberapa perkara yang diperselisihkan oleh ulama’ di dalam hadith ini. Al-Qadi cIyyad berkata, kebanyakan riwayat menyebut lafaz “ أُكِلْتَ ” yang memberi maksud dibebankan tanggungjwab tersebut kepada peminta jawatan. Di dalam riwayat lain disebut dengan lafaz “وُكِلْتَ ” yang bermaksud akan diserahkan segala urusan kepadanya tanpa pertolongan berbeza dengan orang yang diberi jawatan tanpa memintanya.

Imam al-Nawawi ketika menyusun bab-bab di dalam Sahih Muslim, meletakkan hadith yang sama di dalam kitab al-Iman, bab sunat bagi sesiapa yang bersumpah melihat orang lain lebih berkelayakan daripadanya mengutamakan orang tersebut dan terhapuslah sumpahnya. Hadith ini disebut dengan lafaz “وُكِلْتَ ”. Beliau berbeza pendapat dengan al-Qadi di dalam menjelaskan riwayat yang paling banyak disebut. 

4.3       Pengajaran Hadith
1.      Umat Islam dilarang meminta-minta sebarang jawatan samada jawatan kerajaan, qadi dan sebagainya kecuali dalam keadaan terdesak.

2.      Orang yang meminta jawatan tidak akan mendapat pertolongan daripada Allah serta tidak akan mendapat keberkatan daripada pekerjaan tersebut.

3.      Orang yang meminta-minta jawatan besar biasanya ingin memenuhi kehendak nafsu dan berkemungkinan tidak dapat melaksanakan amanah tersebut dengan baik.


[1] Hadith Riwayat Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Larangan Meminta-minta Jawatan dan Rakus Terhadapnya, Hadith no.3401

Friday 23 March 2012

Hadith 3 : Ilmu Diangkat Serta Berleluasanya Arak dan Zina

حَدَّثَنَا عِمْرَانُ بْنُ مَيْسَرَةَ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ عَنْ أَبِي التَّيَّاحِ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُرْفَعَ الْعِلْمُ وَيَثْبُتَ الْجَهْلُ وَيُشْرَبَ الْخَمْرُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا

Maksudnya : “Diantara tanda-tanda kiamat ialah ilmu akan diangkat, kejahilan mula bertapak, arak akan diminum serta zina akan berlaku secara berleluasa”.[1]

Makna Perkataan :

1.      أَشْرَاطُ :  Berasal daripada perkataan “ شَرَطَ  يَشْرُطُ شَرْطاً” yang memberi makna tanda-tanda, alamat dan peristiwa yang akan terjadi pada akhir zaman. (Lisan al-cArab)
2.      يُرْفَعُ الْعِلْمُ : Naib al-Facil bagi perkataan “رَفَع  يَرْفَعُ  رَفْعاً ” yang memberi maksud ilmu akan diangkat oleh Allah. (Lisan al-cArab)
3.       يَثْبُتُ الْجَهْلُ: Naib al-Facil bagi perkataan “ثَبَتَ   يَثْبُتُ ثَباتاً ” yang memberi maksud kejahilan akan berlaku secara berleluasa. (Lisan al-cArab)
4.       يُشْرَبُ الْخَمْرُ: Naib al-Facil bagi perkataan “ شرب ” yang memberi maksud arak akan diminum secara meluas. (Lisan al-cArab)
5.       يَظْهَرُ الزِّنَا:  Berasal daripada perkataan “ظهر ” iaitu melakukan zina secara terang terangan. (Lisan al-cArab)

Huraian :

Antara tanda-tanda awal Qiamat ialah kejahilan yang mula melingkungi diri manusia. Kejahilan yang dimaksudkan di sini ialah kejahilan tentang agama. Ia boleh juga diistilah sebagai buta agama. Hal inilah yang menyebabkan berlakunya banyak perkara yang dilarang oleh agama.

Kejahilan ini berlaku disebabkan orang Islam sendiri tidak lagi berasa pentingnya memahami hukum hakam agama. Apa yang penting bagi mereka ialah mahir dalam ilmu-ilmu keduniaan yang boleh membantu mereka meningkatkan taraf hidup. Sementara ilmu agama yang bertujuan untuk memperkenalkan manusia dengan hakikat kehidupan, matlamat dan peraturan-peraturan kehidupan yang ditetapkan oleh Penciptanya tidak dipandang penting. Akhirnya yang berlaku ialah mereka sangat berjaya dalam mendapat pelbagai kenikmatan dunia dan hidup mewah.

Namun mereka gagal mengecapi kebahagiaan kerana hidup tidak dipandu oleh hukum Tuhan. Keruntuhan akhlak anak muda yang membimbangkan ibu bapa, jenayah kolar putih yang membingungkan pihak berkuasa. Jenayah rompak, rogol, bunuh yang menakutkan masyarakat. Keamanan dan keharmonian gagal dikecapi.

Semuanya berpunca daripada buta agama. Pengajian ilmu agama tidak mendapat sambutan sementara ilmuan Islam yang pakar pula dimatikan oleh Allah seorang demi seorang. Inilah yang dimaksudkan ilmu yang diangkat. Ini dijelaskan dalam sabda baginda bermaksud:

حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ أَبِي أُوَيْسٍ قَالَ حَدَّثَنِي مَالِكٌ عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut ilmu dari manusia dengan cara mengejut, tetapi Allah akan mencabutnya dengan cara mematikan para ulama’ sehingga tidak ada lagi seorang yang berilmu. Maka manusia melantik para pemimpin yang jahil serta bertanya kepadanya (tentang urusan agama). Mereka memberi fatwa tanpa ilmu yang sesat dan menyesatkan”.[2]

            Kiamat juga tidak akan terjadi selagi ada manusia yang menyebut kalimah Allah. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Baginda SAW :

حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ أَخْبَرَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ عَلَى أَحَدٍ يَقُولُ اللَّهُ اللَّهُ

Maksudnya : “Kiamat tidak akan terjadi pada seorang yang mengucap ‘Allah’ ‘Allah’”.[3]

Pengajaran :

1.      Umat Islam hendaklah sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu terutamanya ilmu agama untuk menyelamatkan mereka daripada fitnah akhir zaman.
2.      Kerosakan manusia adalah berpunca daripada kejahilan mereka tentang ilmu agama
3.      Islam mengajar umatnya supaya berhati-hati dengan apa yang akan terjadi serta mengambil cakna tentang isu-isu berkaitan masyarakat.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Kitab Ilmu, Bab Ilmu diangkat dan Munculnya Kejahilan, Hadith no.78; Hadith ini juga diriwayatkan oleh Muslim, Ibn Majah dan Ahmad.
[2] Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Kitab Ilmu, Bab Cara Ilmu di angkat,  Hadith no.98; Hadith ini juga diriwayatkan oleh Muslim, Tirmidhi, Ibn Majah dan Ahmad
[3] Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim, Kitab Iman, Bab berlalunya Iman pada akhir zaman, Hadith no.212