Sunday 29 April 2012

Hadith 8 : Pemimpin Yang Adil


حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَزُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ وَابْنُ نُمَيْرٍ قَالُوا حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ عَنْ عَمْرٍو يَعْنِي ابْنَ دِينَارٍ عَنْ عَمْرِو بْنِ أَوْسٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ ابْنُ نُمَيْرٍ وَأَبُو بَكْرٍ يَبْلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي حَدِيثِ زُهَيْرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْمُقْسِطِينَ عِنْدَ اللَّهِ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ عَنْ يَمِينِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ وَكِلْتَا يَدَيْهِ يَمِينٌ الَّذِينَ يَعْدِلُونَ فِي حُكْمِهِمْ وَأَهْلِيهِمْ وَمَا وَلُوا
Maksudnya : Abu Bakr bin Abi Shaibah, Zuhair bin Harb dan Ibn Numair telah menceritakan kepada kami, mereka berkata Sufyan bin cUyainah telah menceritakan kepada kami  daripada cAmru (Ibn Dinar) daripada cAmru  bin Aus daripada Abdullah bin cAmru, -dan Ibn Numair dan Abu Bakr mengatakan sesuatu yang sampai kepada Nabi SAW, dan dalam hadith Zuhair- dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah di atas mimbar yang dibuat dari cahaya, di sebelah kanan al-Rahman cazz wajall -sedangkan kedua tangan Allah adalah kanan semua-, yaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang di bebankan kepada mereka.”[1]

Makna Kalimah :

1.      الْمُقْسِطون : Berasal daripada kalimah  أقْسَط يقْسِط اقْسَاطاyang memberi maksud orang-orang yang melaksanakan keadilan di dalam pemerintahan.

2.      مَنَابِر : Jamak bagi kata nama منبر yang juga memberi maksud sesuatu yang tinggi.

3.      يَمِينٌ : Diambil daripada kalimah “اليمن yang menunjukkan sesuatu keadaan yang baik serta kedudukan yang tinggi.

4.      وَلُوا : Jawatan yang pernah mereka terima

Huraian :

Hadith ini menjelaskan tentang kelebihan pemimpin yang adil serta balasan baik yang akan diperolehi sekiranya mereka menjalankan amanah yang diberi dengan sebaik-baiknya tanpa sebarang kezaliman, pencabulan hak, rasuah serta jenayah-jenayah lain. Pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik mampu memberi tauladan yang baik kepada rakyat seluruhnya. Sebaliknya, kepimpinan yang zalim akan memberi kesan yang buruk terhadap diri, masyarakat dan negara seluruhnya.

Al-Qadi cIyyad berkata bahawa yang dimaksudkan dengan mimbar ialah mimbar secara haqiqi dan juga mengandungi makna metafora (kinayah) iaitu satu kedudukan yang tinggi dan mulia. Justeru, Imam al-Nawawi telah mengambil jalan menghimpunkan kedua-dua pandangan ini dengan menjelaskan bahawa pemimpin yang berlaku adil di dalam setiap gerak kerjanya akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah iaitu di atas mimbar yang tinggi.

Hadith ini juga menyebut tentang salah satu daripada sifat-sifat Allah iaitu “tangan kanan al-Rahman”. Ulama’ telah berselisih pendapat mengenai hadith-hadith sifat. Terdapat diantara mereka yang beriman dengan hadith tersebut tanpa mengubah maknanya yang asal (takwil) seperti jumhur ulama’ Salaf dan sebahagian ulama’ Mutakallimin. Manakala sebahagian lain berpendapat bahawa hadith-hadith atau ayat-ayat yang berkaitan dengan sifat hendaklah diubah maknanya kepada makna lain yang bersesuaian dengan keagungan dan kesempurnaan Allah seperti pendapat kebanyakan ulama’ Mutakallimin.

Al-Qadi cIyyad berkata yang dimaksudkan dengan “kanan” ialah satu keadaan yang baik serta kedudukan yang tinggi. Manakala Ibn cArafah pula berpendapat bahawa kebanyakan orang arab jika ingin menunjukkan sesuatu yang baik dan terpuji, mereka akan menggunakan sesuatu yang berada di sebelah kanan dan sebaliknya akan menisbahkan kepada anggota kiri sekirnya menunjukkan sesuatu yang hina.

Manakala maksud “Orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang di bebankan kepada mereka” pula adalah merupakan salah satu kelebihan kepada mana-mana pemimpin disemua peringkat yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Mereka berhak mendapat kedudukan yang tinggi dihadapan Allah kerana telah melaksankan hubungan yang baik dengan Allah dan dalam masa yang sama berlaku baik terhadap manusia.

Pengajaran :

1.      Galakan kepada pemimpin supaya melaksankan tanggungjawab dengan adil.
2.      Pemimpin yang adil berhak mendapat kedudukan mulia disisi Allah.
3.      Kepentingan merapatkan hubungan sesama manusia untuk mendapat keredaan Allah.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Kelebihan Imam Adil, Akibat Zalim Serta Galakan Supaya Sentiasa Bersama Rakyat, Hadith no.3406

Monday 23 April 2012

Hadith 7 : Makruh Meminta-minta Sesuatu Jawatan



حَدَّثَنَا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ شُعَيْبِ بْنِ اللَّيْثِ حَدَّثَنِي أَبِي شُعَيْبُ بْنُ اللَّيْثِ حَدَّثَنِي اللَّيْثُ بْنُ سَعْدٍ حَدَّثَنِي يَزِيدُ بْنُ أَبِي حَبِيبٍ عَنْ بَكْرِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ الْحَارِثِ بْنِ يَزِيدَ الْحَضْرَمِيِّ عَنْ ابْنِ حُجَيْرَةَ الْأَكْبَرِ عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَسْتَعْمِلُنِي قَالَ فَضَرَبَ بِيَدِهِ عَلَى مَنْكِبِي ثُمَّ قَالَ يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا
Maksudnya : cAbd al-Malik bin Shucaib bin Laith telah menceritakan kepada kami, telah menceritakan kepadaku bapakku Shucaib bin Laith,  Laith bin Sad telah menceritakan kepadaku, Yazid bin Abu Habib telah menceritakan kepadaku  daripada Bakr bin cAmr daripada al-Harith bin Yazid al-Hadramiy daripada Ibn Hujairah al-Akbar daripada Abu Dhar dia berkata, saya bertanya, "Wahai Rasulallah, sudikah tuanku melantikku sebagai seorang pegawai?" Abu Dhar berkata, "Kemudian baginda menepuk bahuku dengan tangan baginda seraya bersabda: "Wahai Aba Dhar, kamu ini lemah (untuk memegang jawatan), sedangkan jawatan itu merupakan satu amanah. Kelak pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi siapa yang mengambilnya dengan haq dan melaksanakan tugas dengan benar."[1]

Makna Kalimah :

1.      تَسْتَعْمِلُنِي : Berasal daripada kalimah اسْتَعْمل يسْتَعْمِلُ اسْتعْمِلا yang bermaksud meminta pekerjaan
2.      خِزْيٌ : Mendapat bencana, keburukan dan kecelakaan (al-Mu’jam al-Wasit)

Huraian :

Hadith ini diriwayatkan oleh sebilangan ramai perawi iaitu empat puluh orang daripada kalangan para tabicin yang meriwayaatkan antara satu sama lain. Di dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Wahai Wahai Aba Dhar, sesungguhnya aku melihat mu sebagai seorang yang lemah (daripada menerima jawatan), sedangkan aku mencintaimu sepertimana aku mencintai diriku. Janganlah kamu menjadi pemimpin di antara dua orang dan janganlah kamu menguasai harta anak yatim”.[2]

            Hadith ini menjadi dasar terpenting dalam permasalahan seseorang yang meminta-minta jawatan terutamanya bagi yang tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab pekerjaan tersebut. Mereka berhak mendapat kecelakaan dan penyesalan kerana mereka tidak berkelayakan di dalam pekerjaan yang diminta, atau mereka layak tetapi tidak menjalankan amanah yang diberikan secara adil akan dihina oleh Allah pada hari kiamat kelak dan dalam masa yang sama mereka akan menyesal terhadap apa yang telah mereka lakukan di dunia.

            Sebaliknya, sesiapa yang berkelayakan untuk memegang tampuk kepimpinan serta berlaku adil di dalam pemerintahannya akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Tuhannya seperti yang dijelaskan oleh baginda SAW “Tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan di bawah naungan cArsh Allah (di hari kiamat kelak) ketika manusia tidak mendapat perlindungan selain perlindunganNya, antaranya ialah pemimpin yang adil…”[3]  

Pengajaran :

1.      Seseorang yang tidak berkelayakan di dalam sesuatu pekerjaan tidak sepatutnya meminta-minta jawatan tersebut dibimbangi tidak dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya.
2.      Sikap tamak terhadap jawatan akan membawa penyesalan di hari pembalasan.
3.      Pemimpin yang adil akan mendapat pertolongan daripada Allah serta disenangi oleh rakyatnya.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Makruh Meminta Jawatan Tanpa Darurat, Hadith no.3404
[2] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Makruh Meminta Jawatan Tanpa Darurat, Hadith no.3405
[3] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Azan, Bab Sesiapa yang Duduk di Masjid Menunggu Waktu Solat, Hadith no.620

Monday 2 April 2012

Hadith 6 : Sikap Rasulullah SAW Terhadap Orang Yang Meminta Jawatan


حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ سَعِيدٍ وَمُحَمَّدُ بْنُ حَاتِمٍ وَاللَّفْظُ لِابْنِ حَاتِمٍ قَالَا حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ الْقَطَّانُ حَدَّثَنَا قُرَّةُ بْنُ خَالِدٍ حَدَّثَنَا حُمَيْدُ بْنُ هِلَالٍ حَدَّثَنِي أَبُو بُرْدَةَ قَالَ قَالَ أَبُو مُوسَى أَقْبَلْتُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَعِي رَجُلَانِ مِنْ الْأَشْعَرِيِّينَ أَحَدُهُمَا عَنْ يَمِينِي وَالْآخَرُ عَنْ يَسَارِي فَكِلَاهُمَا سَأَلَ الْعَمَلَ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَاكُ فَقَالَ مَا تَقُولُ يَا أَبَا مُوسَى أَوْ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ قَالَ فَقُلْتُ وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا أَطْلَعَانِي عَلَى مَا فِي أَنْفُسِهِمَا وَمَا شَعَرْتُ أَنَّهُمَا يَطْلُبَانِ الْعَمَلَ قَالَ وَكَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى سِوَاكِهِ تَحْتَ شَفَتِهِ وَقَدْ قَلَصَتْ فَقَالَ لَنْ أَوْ لَا نَسْتَعْمِلُ عَلَى عَمَلِنَا مَنْ أَرَادَهُ وَلَكِنْ اذْهَبْ أَنْتَ يَا أَبَا مُوسَى أَوْ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ فَبَعَثَهُ عَلَى الْيَمَنِ ثُمَّ أَتْبَعَهُ مُعَاذَ بْنَ جَبَلٍ فَلَمَّا قَدِمَ عَلَيْهِ قَالَ انْزِلْ وَأَلْقَى لَهُ وِسَادَةً وَإِذَا رَجُلٌ عِنْدَهُ مُوثَقٌ قَالَ مَا هَذَا قَالَ هَذَا كَانَ يَهُودِيًّا فَأَسْلَمَ ثُمَّ رَاجَعَ دِينَهُ دِينَ السَّوْءِ فَتَهَوَّدَ قَالَ لَا أَجْلِسُ حَتَّى يُقْتَلَ قَضَاءُ اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَقَالَ اجْلِسْ نَعَمْ قَالَ لَا أَجْلِسُ حَتَّى يُقْتَلَ قَضَاءُ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَأَمَرَ بِهِ فَقُتِلَ ثُمَّ تَذَاكَرَا الْقِيَامَ مِنْ اللَّيْلِ فَقَالَ أَحَدُهُمَا مُعَاذٌ أَمَّا أَنَا فَأَنَامُ وَأَقُومُ وَأَرْجُو فِي نَوْمَتِي مَا أَرْجُو فِي قَوْمَتِي
Maksudnya : cUbaidillah bin Sacid dan Muhammad bin Hatim telah menceritakan kepada kami  dan ini adalah lafaz Ibn Hatim, keduanya berkata, Yahya bin Sacid  al-Qattan telah menceritakan kepada kami, Qurrah bin Khalid telah menceritakan kepada kami, Humaid bin Hilal telah menceritakan kepada kami, Abu Burdah telah menceritakan kepadaku, dia berkata, Abu Musa berkata, “Saya menemui Nabi SAW bersama dengan dua orang daripada Bani al-Asycariyin, seorang berada di sebelah kananku dan seorang lagi di sebelah kiriku. Keduanya meminta supaya diberikan jawatan, sementara saat itu baginda sedang bersiwak. Lalu baginda bersabda: Wahai Aba Musa, atau cAbd Allah bin Qais, bagaimana menurutmu mengenai hal ini? 

Abu Musa berkata, Saya menjawab, Demi dhat yang mengutusmu dengan kebenaran, sesungguhnya saya tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka berdua, dan saya tidak menduga bahawa mereka berdua akan meminta jawatan dari tuan wahai Rasulallah. Abu Musa berkata, Seakan-akan saya melihat siwak baginda yang sudah lama berada di bawah bibirnya. Kemudian baginda bersabda: Ketahuilah, sesungguhnya saya tidak akan memberikan jawatan kepada orang yang menginginkannya, sekarang pergilah kamu wahai Abu Musa atau cAbd Allah bin Qais! Akhirnya beliau mengutusnya ke negeri Yaman diikuti oleh Mucadh bin Jabal.

Ketika Mucadh menemui Abu Musa, maka - sambil memberikan bantal kepadanya - Abu Musa berkata, Silakan duduk! Ketika hendak duduk, Mucadh bin Jabal melihat seorang lelaki yang terikat, lalu Mucadh berkata, Siapakah lelaki ini? Abu Musa menjawab, Dahulunya dia seorang Yahudi yang telah memeluk Islam, tetapi setelah itu dia kembali kepada agamanya semula, iaitu agama Yahudi. Mucadh langsung berkata, Saya tidak akan duduk sebelum orang ini dibunuh sesuai dengan ketentuan hukum Allah dan rasul-Nya. 

Abu Musa berkata, Duduklah dulu. Mucadh menjawab, Saya tidak akan duduk sebelum orang ini dibunuh sesuai dengan ketentuan hukum Allah dan rasul-Nya. Abu Musa tetap berkata, Duduklah terlebih dahulu. Mucadh tetap bersikeras menjawab, Saya tidak akan duduk sebelum orang ini dibunuh sesuai dengan ketentuan hukum Allah dan rasul-Nya hingga ia mengulanginya sebanyak tiga kali. Akhirnya Abu Musa memerintahkan supaya lelaki Yahudi itu dibunuh, kemudian mereka saling ingat-mengingati untuk selalu melakukan solat malam. Salah seorang daripada keduanya, iaitu Mucadh berkata, Kalau saya sendiri tetap akan tidur dan juga akan melaksanakan solat, saya berharap agar dalam tidurku ini saya akan memperoleh pahala yang sama seperti saya melakukan solat”. [1]

6.1       Makna Seerti

Bil
Kalimah
Makna Seerti
1.
أَطْلَعَانِي
Sesuatu perkara yang diketahui.[2]
2.
شَعَرْتُ
Menduga, menyangka dan mengetahui.[3] 
3.
قَلَصَتْ
Mengangkat dan mencabut.[4]
4.
وِسَادَة
Pelapik, Bantal.[5]
5.
مُوثَقٌ
Terikat.[6]
6.
فَتَهَوَّد
Kembali kepada agama Yahudi (Murtad)

6.2       Sharh al-Hadith

Hadith ini menjelaskan kepada kita tentang sikap Rasulullah SAW yang tegas di dalam perkara-perkara yang melibatkan kemaslahatan umat Islam. Jawatan itu bukanlah suatu kelebihan untuk dimegah-megahkan, bahkan merupakan ujian dan amanah yang perlu dipertanggungjawabkan dihadapan nanti. Jika amanah tersebut dilaksanakan dengan baik, mereka akan memperoleh ganjaran yang baik disisi Allah. Jika sebaliknya amanah dikhianati, mereka akan mendapat balasan menurut apa yang mereka kerjakan.

              Pekerjaan merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia untuk meneruskan kehidupan mereka sebagai makhluk yang hidup secara bermasyarakat. Manusia dituntut supaya mencari pekerjaan yang halal dan sesuai dengan kepakaran yang dimiliki. Namun, terdapat juga dalam kalangan manusia yang sanggup melakukan pekerjaan yang salah dan keji untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka di dunia ini.

            Selain itu, Islam mengambil berat tentang proses awal sebelum mendapatkan sesuatu jawatan atau pekerjaan. Hal ini demikian kerana, proses ini memberi kesan jangka masa panjang terhadap prospek pekerjaan serta memberi impak yang besar terhadap seseorang pekerja. Justeru, Nabi SAW mengajar umatnya supaya tidak meminta-minta jawataan serta pengaruh kerana dibimbangi akan memberi kesan negatif terhadap pekerja dan majikan.

6.3       Pengajaran Hadith

1. Seseorang yang meminta sesuatu jawatan di dalam apa-apa jenis pekerjaan tidak sepatutnya diberikan jawatan tersebut.

2. Sikap rakus dan tamak terhadap pangkat dan jawatan merupakan sikap yang perlu dihindari oleh semua umat Islam demi melahirkan masyarakat yang berkualiti dan harmoni.

3. Seseorang Muslim hendaklah menunjukkan akhlak terpuji walau dimana sahaja mereka berada dan di dalam semua situasi  


[1]Hadith Riwayat Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Larangan Meminta-minta Jawatan dan Rakus Terhadapnya, Hadith no.3403
[2] Ibn Manzur, Lisan al-Arab, t.th, Qahirah : Dar al-Macarif, bab al-Ta’, jil.30, hlm.2690
[3] Lisan al-Arab, t.th, jil.26, hlm.2273
[4] Lisan al-Arab, t.th, jil.42, hlm.3721
[5] Lisan al-Arab, t.th, jil.54, hlm.4830
[6] Lisan al-Arab, t.th, jil.53, hlm.4764