Wednesday 23 May 2012

Hadith 14 : Tanggungjawab Setiap Pemimpin


حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا لَيْثٌ ح و حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ رُمْحٍ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ نَافِعٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya : Qutaibah bin Sacid telah menceritakan kepada kami, Laith telah menceritakan kepada kami. Di dalam jalur lain disebutkan bahawa Muhammad bin Rumh telah menceritakan kepada kami, Laith telah menceritakan kepada kami daripada Nafi’ daripada Ibn cUmar daripada Nabi SAW bersabda : “Ketahuilah bahawa setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin manusia akan bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemimpin ke atas keluarganya, dan dia bertanggungjawab ke atas mereka semua. Seorang wanita juga pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab ke atas mereka semua. Seorang hamba adalah pemimpin ke atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab ke atas kepemimpinannya.” [1]

Makna Kalimah :

1.      رَاع : Pemimpin, penjaga amanah yang sentiasa membuat kebaikan.
2.      مَسْئُولٌ : Orang yang bertanggungjawab terhadap sesuatu.

Huraian :

Islam telah menetapkan bahawa asas terhadap sesebuah kepimpinan ialah berlemah-lembut terhadap yang dipimpin, memaafkan kesalahan mereka, berbuat baik serta mengajak mereka melakukan perkara-perkara yang membawa kebaikan bersama. Setiap manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing dan akan dipertanggungjawabkan ke atas apa yang dipimpin. Meraka akan ditanya pada hari kiamat kelak samada mereka menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka atau sebaliknya.

            Pemimpin sesebuah negara bertanggungjawab menjaga kebajikan, keamanan dan keselamatan rakyatnya dengan memastikan sistem ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan sebagainya diurus dengan cekap dan bijaksana. Sistem kawalan keselamatan perlu diperkasa setiap masa. Sistem ekonomi perlu dimantapkan agar negara tidak mengalami krisis ekonomi yang parah pada jangka masa panjang. Sistem pendidikan yang efektif perlu ditekankan serta mengambil kira pandangan Islam dalam semua aspek tersebut.

Seorang lelaki atau suami bertanggungjawab memastikan kelangsungan hidup isteri, anak-anak serta kaum keluarga kedua-dua belah pihak. Seorang isteri pula bertanggungjawab menjaga anak-anak serta harta suami ketika suami tiada dirumah. Malahan orang suruhan juga bertanggugjawab menjaga keselamatan rumah tuannya. Ini menunjukkan bahawa Islam mengambil kira semua keadaan muslim daripada sebesar-besar perkara sehingga sekecil-kecil urusan samada mereka kaya, miskin, tua, muda dan sebagainya.

Pengajaran :

1.      Setiap manusia merupakan pemimpin yang perlu menjaga amanah yang telah ditetapkan kepada mereka.

2.      Seorang pemimpin hendaklah memimpin dengan adil serta melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Kelebihan Imam Adil, Akibat Zalim Serta Galakan Supaya Sentiasa Bersama Rakyat, Hadith no.3408

Hadith 13 : Doa Rasulullah Terhadap Pemimpin


حَدَّثَنِي هَارُونُ بْنُ سَعِيدٍ الْأَيْلِيُّ حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْبٍ حَدَّثَنِي حَرْمَلَةُ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ شِمَاسَةَ قَالَ أَتَيْتُ عَائِشَةَ أَسْأَلُهَا عَنْ شَيْءٍ فَقَالَتْ مِمَّنْ أَنْتَ فَقُلْتُ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ مِصْرَ فَقَالَتْ كَيْفَ كَانَ صَاحِبُكُمْ لَكُمْ فِي غَزَاتِكُمْ هَذِهِ فَقَالَ مَا نَقَمْنَا مِنْهُ شَيْئًا إِنْ كَانَ لَيَمُوتُ لِلرَّجُلِ مِنَّا الْبَعِيرُ فَيُعْطِيهِ الْبَعِيرَ وَالْعَبْدُ فَيُعْطِيهِ الْعَبْدَ وَيَحْتَاجُ إِلَى النَّفَقَةِ فَيُعْطِيهِ النَّفَقَةَ فَقَالَتْ أَمَا إِنَّهُ لَا يَمْنَعُنِي الَّذِي فَعَلَ فِي مُحَمَّدِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ أَخِي أَنْ أُخْبِرَكَ مَا سَمِعْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي بَيْتِي هَذَا اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ و حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ حَاتِمٍ حَدَّثَنَا ابْنُ مَهْدِيٍّ حَدَّثَنَا جَرِيرُ بْنُ حَازِمٍ عَنْ حَرْمَلَةَ الْمِصْرِيِّ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ شِمَاسَةَ عَنْ عَائِشَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمِثْلِهِ
Maksudnya : Harun bin Sacid al-Ailiy telah menceritakan kepadaku, Ibn Wahb telah menceritakan kepada kami, Harmalah telah menceritakan kepadaku daripada cAbd al-Rahman bin Shimasah dia berkata : Saya telah bertemu dengan cAishah untuk menanyakan tentang sesuatu, maka dia bertanya kembali kepadaku : Dari manakah kamu?” Saya menjawab bahawa saya merupakan seorang penduduk Mesir”. Aishah berkata : “Bagaimana keadaan sahabat kalian yang berperang bersama kalian dalam peperangan ini?” Dia menjawab : “Kami tidak pernah membencinya sedikitpun, jika keldai salah seorang daripada kami mati maka dia menggantinya, jika yang mati itu seorang hamba maka dia akan mengganti dengan seorang hamba, dan jika salah seorang dari kami memerlukan keperluan hidup maka ia akan memberinya”. cAisyah berkata : “Tidak layak bagiku jika saya tidak mengutarakan keutamaan saudaraku, Muhammad bin Abu Bakr, saya akan memberitahu kamu sesuatu yang pernah saya dengar daripada Rasulullah SAW. Baginda berdoa ketika berada di rumahku ini” : “Ya Allah, siapa yang memegang sesuatu jawatan dalam pemerintahan ummatku lalu dia menyusahkan urusan mereka, maka susahkanlah dia. Dan sesiapa yang memegang sesuatu jawatan dalam pemerintahan ummatku lalu dia berusaha menolong mereka, maka tolonglah dia.  Muhammad bin Hatim telah menceritakan kepadaku, Ibn Mahdi telah menceritakan kepada kami, Jarir bin Hazim telah menceritakan kepada kamidaripada Harmalah al-Misri daripada cAbd al-Rahman bin Shimasah  daripada cAisyah daripada Nabi SAW seperti hadits di atas.[1]

Makna Kalimah :

1.      شَقّ : Menyusahkan
2.      رَفَقَ : Menolong

Huraian :

Hadith ini menjelaskan kepada kita tentang doa Rasulullah SAW terhadap seseorang yang memegang sesuatu jawatan dalam pemerintahan. Doa ini antara lain menunjukkan sifat baginda SAW yang sangat cakna terhadap sesuatu urusan pemerintahan. Dalam masa yang sama, menerangkan bahawa institusi pemerintahan bukanlah salah satu tempat untuk dibangga-banggakan serta bermudah-mudah dalam urusan tersebut.

            Rasulullah SAW mengajar kita supaya menasihati seorang pemerintah yang melaksanakan kerjanya dengan zalim serta menyusahkan urusan rakyatnya. Jika nasihat tersebut tidak diendahkan, baginda telah mengajar kepada kita satu doa seperti yang telah diriwayatkan oleh Sayyidatina cAisyah di atas yang bermaksud : Ya Allah, siapa yang memegang sesuatu jawatan dalam pemerintahan ummatku lalu dia menyusahkan urusan mereka, maka susahkanlah dia”. Sebaliknya, jika seseorang pemerintah melaksanakan tuntutan yang telah diamanahkan kepadanya akan mendapat pertolongan daripada Allah seperti yang telah didoakan oleh baginda SAW : “Sesiapa yang memegang sesuatu jawatan dalam pemerintahan ummatku lalu dia berusaha menolong mereka, maka tolonglah dia”.

            Doa ini menjadi peringatan dan ancaman Rasulullah SAW terhadap orang yang berlaku zalim terhadap rakyat. Pemerintah yang zalim bukan sahaja mendapat ancaman di dunia, bahkan di akhirat kelak mereka akan dikenakan azab yang berganda dengan sebab tidak menjalankan amanah yang telah ditetapkan kepada mereka serta merosakkan keadaan rakyatnya sepertimana firman Allah ;

وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا ﴿٦٧﴾ رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا ﴿٦٨﴾  [2]

Maksudnya : Dan mereka berkata : "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!"

Pengajaran :

1.    Rasulullah SAW pernah berdoa supaya pemimpin yang menyusahkan urusan rakyatnya disusahkan urusannya oleh Allah dan sebaliknya pemimpin yang menolong urusan rakyatnya dengan doa supaya mereka ditolong oleh Allah.

2.      Ancaman buruk kepada pemimpin yang tidak menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Kelebihan Imam Adil, Akibat Zalim Serta Galakan Supaya Sentiasa Bersama Rakyat, Hadith no.3407
[2] Surah al-Ahzab (33), ayat 67-68

Tuesday 22 May 2012

Hadith 12 : Sebaik-baik Dan Seburuk-buruk Pemerintah


حَدَّثَنَا إِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الْحَنْظَلِيُّ أَخْبَرَنَا عِيسَى بْنُ يُونُسَ حَدَّثَنَا الْأَوْزَاعِيُّ عَنْ يَزِيدَ بْنِ يَزِيدَ بْنِ جَابِرٍ عَنْ رُزَيْقِ بْنِ حَيَّانَ عَنْ مُسْلِمِ بْنِ قَرَظَةَ عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ فَقَالَ لَا مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلَاتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ وَلَا تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ
Maksudnya : Ishaq bin Ibrahim al-Hanzali telah menceritakan kepada kami, cIsa bin Yunus telah mengabarkan kepada kami, al-Auzaci telah menceritakan kepada kami daripada Yazid bin Yazid bin Jabir daripada Zuraiq bin Hayyan daripada Muslim bin Qarazah daripada cAuf bin Malik daripada Rasulullah SAW bersabda : “Sebaik-baik pemimpin dalam kalangan kalian ialah mereka yang mencintai kalian dan kalian mencintai mereka, mereka mendoakan kalian dan kalian mendoakan mereka. Dan seburuk-buruk pemimpin ialah mereka yang membenci kalian dan kalian membenci mereka, mereka mengutuk kalian dan kalian mengutuk mereka”. Baginda ditanya : “Wahai Rasulullah, adakah patut kita memerangi mereka?”  Baginda bersabda: “Tidak, selagi mereka mendirikan solat bersama kalian. Jika kalian melihat dari pemimpin kalian sesuatu yang tidak baik maka bencilah tindakannya, dan janganlah kalian melepaskan diri daripada ketaatan kepada mereka.” [1]

Makna Kalimah :
1.      يُصَلُّونَ : Berasal daripada kalimah صَلّى يُصَلُّ yang memberi maksud seorang pemimpin yang berdoa kepada rakyatnya.

2.      تُبْغِضُونَهُمْ : Berasal daripada kalimah بغِض يبْغِضُ yang memberi maksud seorang pemimpin yang membenci rakyatnya.

Huraian :
Dua nikmat yang Allah kurniakan kepada umat Islam iaitu nikmat keamanan dan nikmat kesatuan. Nikmat keamanan dapat dikecapi oleh setiap muslim dalam erti kata diri, harta serta maruah mereka tidak boleh diceroboh dengan sewenang-wenangnya tanpa sebarang tujuan kecuali apabila mereka melanggar garis panduan yang telah ditetapkan di atas mereka seperti berzina, membunuh, murtad dan sebagainya. Manakala nikmat kesatuan pula dapat dilihat dalam perhubungan mereka seperti mengutamakan orang lain walaupun diri sendiri sangat berhajat kepadanya.

            Kepimpinan merupakan suatu amanah dan tanggungjawab yang sangat berat bagi yang memikulnya. Dalam masa yang sama mereka akan menerima akibat buruk di akhirat kelak apabila tidak menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya. Kesalahan dan kesilapan dalam memerintah menyebabkan seseorang pemerintah memiliki ramai musuh, kegelisahan di dalam hati sehingga terpaksa memerangi orang yang tidak sependapat dengannya. Inilah realiti sebuah pemerintahan yang penuh dengan liku-liku cabaran dan fitnah.

            Hadith di atas menjelaskan kepada kita tentang situasi sesebuah pemerintahan yang disukai dan dibenci oleh rakyatnya. Pemerintahan yang baik akan melahirkan rakyat yang cinta, setia dan sentiasa mendoakan antara satu sama lain. Dengan demikian, lahirlah keamanan dan kesatuan dalam sesebuah negara. Dalam masa yang sama, pergaduhan, pertelingkahan, kerosakan dan segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik dan sistematik.

            Sebaliknya, kepimpinan yang zalim dan menindas melahirkan rakyat yang benci kepadanya. Para pemimpin menindas rakyat dan dalam masa yang sama rakyat mencaci serta membenci pemimpin. Dengan demikian, lahirlah pelbagai kerosakan dan masalah-masalah hidup yang tidak dapat diselesaikan dengan sebab tiada keberkatan dalam sistem pemerintahan. Kepincangan dan kerosakan semakin berleluasa sehingga akhirnya membawa kepada kemerosotan dan kejatuhan sesebuah kerajaan itu sendiri.
Pengajaran :
1.      Kecintaan pemerintah terhadap rakyat, kesetiaan rakyat terhadap pemerintah serta doa di antara mereka adalah merupakan salah satu tanda kecintaan dan keredaan Allah terhadap mereka.

2.      Kebencian pemerintah terhadap rakyat, kemarahan rakyat terhadap pemerintah merupakan salah satu tanda kemurkaan Allah terhadap mereka.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Sebaik-baik dab Seburuk-buruk Pemerintah, Hadith no.3447

Wednesday 16 May 2012

Hadith 11 : Bara' Terhadap Pemimpin


حَدَّثَنَا هَدَّابُ بْنُ خَالِدٍ الْأَزْدِيُّ حَدَّثَنَا هَمَّامُ بْنُ يَحْيَى حَدَّثَنَا قَتَادَةُ عَنْ الْحَسَنِ عَنْ ضَبَّةَ بْنِ مِحْصَنٍ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَتَكُونُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ عَرَفَ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ قَالُوا أَفَلَا نُقَاتِلُهُمْ قَالَ لَا مَا صَلَّوْا
Maksudnya : Haddab bin Khalid al-Azdiy telah menceritakan kepada kami, Hammam bin Yahya telah menceritakan kepada kami, Qatadah telah menceritakan kepada kami  daripada al-Hasan daripada Dabbah bin Mihsan daripada Ummi Salamah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang (pada suatu masa) para penguasa yang kalian mengenal mereka namun kalian mengingkari (perbuatan mereka). Barangsiapa yang tahu (kemungkarannya) hendaklah berlepas diri, dan barangsiapa mengingkari maka ia telah selamat. Tetapi bagi yang reda dan mengikuti (kemungkaran tersebut)”, para sahabat menyelah, “Bagaimana jika kita perangi sahaja mereka?” Baginda menjawab: “Tidak, selama mereka masih solat.”[1]

Makna Kalimah :

بَرِئَ : Berlepas diri dan terselamat daripada dosa dan perbuatan buruk yang dilakukan oleh pemerintah

Huraian :

Hadith di atas merupakan salah satu mukjizat yang dikurniakan kepada baginda SAW iaitu gambaran yang jelas tentang peristiwa yang akan berlaku pada zaman akan datang. Baginda SAW menjelaskan kepada kita tentang konsep al-Bara’ iaitu sikap tidak menyokong kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang pemimpin yang dilakukan secara terang-terangan. Peristiwa yang dijelaskan oleh Nabi SAW ini telah berlaku pada zaman ini.

            Episod kezaliman dan kekejaman yang dilakukan oleh pemerintah tidak pernah hilang dan akan berterusan selagimana mereka tidak berpegang kepada ajaran dan contoh yang ditunjukkan oleh baginda SAW. Sebagai seorang rakyat, kita dikehendaki membenci kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah serta menasihati mereka, bukannya menjadi penyokong tegar terhadap kezaliman tersebut. Sesiapa yang berlepas diri daripada kezaliman, mereka akan terselamat daripada dosa dan angkara buruk yang dilakukan oleh pemerintah tersebut.

            Sebaliknya, orang-orang yang suka, reda serta mengikut kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah akan memperoleh dosa dan balasan buruk setimpal dengan perbuatan yang telah mereka lakukan. Hal ini demikian kerana mereka seolah-olah merestui kezaliman yang dijalankan oleh seseorang pemerintah sehingga mereka senang dan selesa dengannya. Namun, seorang muslim dilarang keluar daripada pemerintahan Islam serta membunuh pemimpin dengan sebab kezaliman dan kefasikan yang dilakukan selagimana mereka tidak keluar daripada batas-batas Islam.

Pengajaran :

1.      Wajib membenci kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah
2.      Wajib menasihati pemerintah sesuai dengan kemampuan yang ada pada seseorang
3.      Reda dengan maksiat yang dilakukan oleh pemerintah membawa kepada keburukan yang lebih besar


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Wajib Mengingkari Pemimpin Yang Menyalahi Syara’ Serta Tidak Membunuh Mereka Selagi Mereka Menunaikan Solat, Hadith no.3445

Tuesday 8 May 2012

Hadith 10 : Sabar Terhadap Kezaliman Pemerintah


حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى وَمُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ قَالَا حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ قَالَ سَمِعْتُ قَتَادَةَ يُحَدِّثُ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ أُسَيْدِ بْنِ حُضَيْرٍ أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ خَلَا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَلَا تَسْتَعْمِلُنِي كَمَا اسْتَعْمَلْتَ فُلَانًا فَقَالَ إِنَّكُمْ سَتَلْقَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً فَاصْبِرُوا حَتَّى تَلْقَوْنِي عَلَى الْحَوْضِ و حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ حَبِيبٍ الْحَارِثِيُّ حَدَّثَنَا خَالِدٌ يَعْنِي ابْنَ الْحَارِثِ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ بْنُ الْحَجَّاجِ عَنْ قَتَادَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَنَسًا يُحَدِّثُ عَنْ أُسَيْدِ بْنِ حُضَيْرٍ أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ خَلَا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمِثْلِهِ و حَدَّثَنِيهِ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ مُعَاذٍ حَدَّثَنَا أَبِي حَدَّثَنَا شُعْبَةُ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَلَمْ يَقُلْ خَلَا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya : Muhammad bin al-Muthanna dan Muhammad bin Bashhar telah menceritakan kepada kami,  keduanya berkata bahawa Muhammad bin Ja'far telah menceritakan kepada kami, Shu'bah telah menceritakan kepada kami, dia berkata, saya pernah mendengar Qatadah menceritakan daripada Anas bin Malik daripada Usaid bin Khudair bahawa seorang lelaki Ansar menemui Rasulullah SAW seraya berkata : “Tidakkah tuanku ingin mengangkatku menjadi pegawai sebagaimana tuanku mengangkat fulan (menjadi pegawai)? Baginda bersabda: Sesungguhnya sepeninggalanku kelak, kamu akan menjumpai (penguasa) yang mementingkan diri sendiri. Maka sabarlah hingga kalian berjumpa denganku di telaga”.  Yahya bin Habib al-Harithi telah menceritakan kepadaku, Khalid -iaitu Ibn al- Harith- telah menceritakan kepada kami, Shu'bah bin al-Hajjaj telah menceritakan kepada kami  daripada Qatadah dia berkata : Saya mendengar Anas bercerita daripada Usaid bin Khudair, bahawa seorang lelaki Ansar menemui Rasulullah SAW sendirian…seperti hadith di atas. Dan cUbaidullah bin Mucadh telah menceritakan kepadaku, ayahku telah menceritakan kepada kami, Shu'bah telah menceritakan kepada kami  dengan isnad ini, namun dia tidak menyebutkan, Ia menemui Rasulullah SAW sendirian.[1]

Makna Kalimah :
1.      أَثَرَة : Memuliakan diri sendiri serta melebihkan keperluan sendiri
2.      فَاصْبِرُوا : Lawan bagi cemas
3.      الْحَوْض : Telaga atau Perigi

Huraian :
Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita tentang keadaan yang akan berlaku pada akhir zaman. Antaranya ialah seseorang pemimpin tidak lagi menguruskan tampuk kepimpinannya dengan baik. Bahkan menggunakan peluang yang ada untuk mengaut sebanyak mungkin kekayaan dan pangkat untuk kepentingan individu atau kroni. Kepimpinan tidak lagi dilihat sebagai salah satu amanah yang perlu dipikul untuk kepentingan masyarakat seluruhnya.

            Hal ini demikian kerana terdapat satu penyakit merbahaya yang muncul dalam kalangan manusia hari ini ialah penyakit cintakan dunia dan takut mati (al-Wahn). Penyakit ini muncul setelah ilmu agama tidak lagi diutamakan, amal islami dicop sebagai ketinggalan zaman, gejala maksiat berleluasa yang akhirnya membawa manusia kepada kelalaian hidup di dunia. Manusia berlumba-lumba mencari pangkat dan kekayaan sehingga lupa tugas sebenar mereka sebagai seorang hamba kepada penciptanya.

            Sikap individualistik sangat menebal di dalam diri sehingga membawa kepada pemujaan diri. Setiap kesalahan yang dilakukan tidak boleh ditegur kerana akan melanggar hak kebebasan mereka. Hal inilah yang terbawa-bawa apabila mereka memegang tampuk pemerintahan sesebuah atau memegang mana-mana jawatan. Akhirnya, sistem keadilan yang sebenar bertukar menjadi zalim serta merampas hak masyarakat berlaku dengan berleluasa. Nabi SAW pernah ditanya tentang seorang pemimpin yang tidak menunaikan tanggungjawab mereka. Lalu baginda bersabda :

            “Dengarkan dan taatilah, sesungguhnya mereka akan mempertanggung jawabkan atas semua perbuatan mereka sebagaimana kalian juga akan mempertanggung jawabkan semua perbuatan kalian.” [2]

            Juster, Nabi SAW menyeru masyarakat supaya bersabar terhadap kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah. Hal ini tidak bermakna masyarakat harus berdiam diri menghadapi kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin, bahkan mereka sepatutnya menasihati para pemimpin dengan cara yang bijaksana supaya mereka kembali mengamalkan tuntutan-tuntutan Islam yang sebenar.

Pengajaran :

1.      Umat Islam dituntut bersabar menghadapi pemerintah yang zalim

2.      Pemimpin yang mementingkan diri sendiri tidak akan kekal lama dalam jawatan tersebut

3.      Nilai-nilai Islam semakin terhakis apabila peristiwa kiamat hampir menjelang


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Perintah Bersabar Terhadap Pemerintah , Hadith no.3432

[2] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Taat Kepada Pemimpin Sekalipun Mereka Mengabaikan Hak , Hadith no.3433