Wednesday 7 December 2011

TRANSFORMASI HIJRAH

Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru hijrah yang ke- 1433. Semoga kedatangan tahun baru ini memberi kekuatan kepada kita untuk menambahkan nilai ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah taala.

Sinar Kegemilangan Umat Islam..

Umat Islam perlu bersyukur kerana mereka mempunyai sejarah yang agong pada suatu ketika dahulu. Namun, adakah cukup sekadar berbangga dengan peristiwa yang telah berlaku tanpa berfikir bagaimana untuk mempertahankan kegemilangan umat Islam?

Tuntutan Hijrah

Penghijrahan perlu dilakukan secara beransur-ansur bermula dari perkara-perkara  yang kecil sehinggalah kepada perkara-perkara yang besar.

Bagi yang meringan-ringankan solat, maka hijrah mereka ialah dengan menunaikan solat di awal waktu serta berjemaah.

Bagi mereka yang malas dalam mempelajari ilmu pengetahuan, hijrah mereka ialah dengan berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu pengetahuan.

Bagi mereka yang suka melakukan maksiat, hijrah mereka ialah dengan meninggalkan maksiat yang dilakukan.

Bagi mereka yang suka menghabiskan masa dengan perbualan dan perbuatan yang sia-sia, maka hijrah mereka ialah menggunakan masa yang diberikan dengan sebaik-baiknya.

Bagi mereka yang telah melakukan amal kebajikan, maka hijrah mereka adalah dengan tetap istiqamah melakukan amalan kebajikan tersebut serta berusaha memperbanyakkan amalan-amalan tersebut.

Kepentingan Hijrah

Jika masyarakat pada zaman jahiliyyah menanam anak perempuan hidup-hidup, kini masyarakat membunuh anak-anak tidak kira perempuan  mahupun lelaki. Jika dulu umat Islam ditindas, kini umat Islam dicaci dan dihina.
Maka, Hijrah mengajak kita supaya meninggalkan segala amalan jahiliyyah serta menggantikannya dengan amal Islami.

Hijrah dan Mahasiswa 

Kehidupan mahasiswa Islam kini berada dalam keadaan yang sangat mencabar. Penghayatan nilai-nilai Islam semakin terhakis. Pemuda-pemudi hilang jati diri serta arah hidup. Mereka disogokkan dengan nilai-nilai keduniaan yang melampau.

Hijrah yang perlu dilakukan oleh mahasiswa  Islam kini adalah dengan menukarkan sifat mazmumah kepada nilai mahmudah.

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada Hijrah Nabi SAW yang telah berjaya mengubah landskap masyarakat jahiliyyah taasubiyyah kepada umat Islam yang bersatu dibawah kalimah yang satu.

Barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, maka (nilai dan pahala) hijrahnya itu menuju Allah dan Rasulnya

No comments:

Post a Comment