JAHILIYAH MODEN


JAHILIYAH MODEN
Oleh : MOHD SHAUKI ABD MAJID

Berkali-kali al-Quran dan sunnah memperingatkan betapa bernilainya hidup makhluk ciptaan Allah s.w.t. Jangankan manusia yang telah menginjakkan kaki di persada bumi, janin yang baru berada dalam perut ibu pun, meski masih pada proses awal, bahkan binatang dan tumbuh-tumbuhan dilarang untuk dicabut hidup-hidup, kecuali berdasarkan ketentuan yang dibenarkan Allah s.w.t.

Realitinya, isu pembuangan dan pembunuhan bayi yang kian bermaharajalela di negara kita mengingatkan kita pada zaman sebelum kedatangan Islam, iaitu zaman jahiliah. Pada zaman jahiliah, mereka membuang bayi-bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga mereka.
Manakala pada zaman di mana Islam telah bertapak kukuh, bayi-bayi perempuan mahupun lelaki dibuang umpama sampah. Sungguh ironis dan kejam. Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat sekarang jika bayi yang tidak berdosa yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu sahaja?

Di dalam Islam, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk mendidik anak-anak. Sikap tidak bertanggungjawab dan tidak mahu memelihara anak-anak sebenarnya melambangkan sikap tidak berperikemanusiaan. Sedangkan haiwan sayangkan anaknya, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya.
Terdapat tiga alasan yang diisyaratkan al-Quran dan sunnah bagi pembunuhan bayi pada zaman jahiliah.

Pertama, di kalangan ibu bapa yang miskin dengan kelahiran anak perempuan menurut mereka tidak dapat memberi apa-apa faedah, malahan menyusahkan. Menurut mereka, anak perempuan tidak produktif. Untuk alasan ini, diperingatkan di dalam al-Quran, yang bermaksud: ‘‘Kami yang akan memberi rezeki kepadamu (hai para orang tua) dan kepada mereka (anak-anakmu).’’ (Al-An‘am: 151)

Kedua, kebimbangan anak-anak akan terjerumus dalam lembah kemiskinan apabila mereka dewasa kelak. Untuk mereka ini, Allah s.w.t mengingatkan bahawa (yang bermaksud): ‘‘Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka (anak-anak) dan juga kepadamu.” ( Al-Isra’: 31)

Ketiga, mereka khuatir akan menanggung aib, akibat ditawan dalam peperangan sehingga diperkosa atau akibat perzinaan. Itulah sebabnya, maka, ‘‘Apabila salah seorang di antara mereka diberi khabar tentang kelahiran anak perempuan, hitam (mukanya merah padam) dan dia sangat marah.” ( Al- Nahl: 58)

Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan anak pada masa jahiliah moden ini bukan kerana takut miskin tetapi perbuatan keji yang mereka lakukan itu kerana untuk menutup malu yang menimpa mereka setelah berlaku perzinaan.
Jika pada zaman jahiliah mereka membunuh antara lain kerana khuatir anak diperkosa atau berzina, maka pada masa jahiliah moden ini anak dibunuh kerana ibunya sendiri diperkosa atau telah berzina.

Pada zaman jahiliah, anak dibunuh oleh mereka yang tidak berpengetahuan, dan yang belum mengenal apa yang dinamakan hak asasi manusia. Tetapi pada zaman jahiliah moden ini anak dibunuh oleh ibu bapa dan doktor atau bidan yang berpengetahuan.

Apa pun alasan, pelaku pembunuhan bayi mutakhir ini sebenarnya lebih buruk dan kejam daripada alasan mereka yang terpaksa melakukan pembunuhan bayi pada masa lampau.
Pembunuhan bayi perempuan atau anak-anak pada masa turunnya al-Quran dilakukan oleh beberapa kabilah sahaja. 

Kononnya, yang pertama melakukan pembunuhan dan penanaman hidup-hidup anak perempuan adalah Bani Rabiah, diikuti oleh Bani Kindah dan sebahagian anggota suku Bani Tamim. Kabilah Quraisy serta keturunannya dikatakan tidak pernah terlibat dalam kancah ini. Kerana itu, riwayat yang mengatakan bahawa Umar bin Khattab r.a pernah menanam hidup-hidup anak perempuannya, tidak dinilai sebagai riwayat yang sahih oleh pakar-pakar sejarah.

Perlu dicatat bahawa penguburan anak perempuan hidup-hidup bukanlah adat kebiasaan yang direstui oleh masyarakat jahiliah. Oleh hal demikian itu, sebahagian suku bahkan memberikan tebusan kepada orang tua yang bermaksud atau berniat menanam hidup-hidup anak-anak perempuan mereka.

Pada zaman jahiliah moden ini, kita berhadapan dengan krisis ‘kebutaan minda’ yang memerlukan usaha yang bersepadu daripada pelbagai pihak bagi mengembalikan akal budi ke tempat yang selayaknya, bukan diletakkan di tempat yang memungkinkan lagi berleluasa keruntuhan keperibadian dan jati diri ummah.