Tuesday 8 May 2012

Hadith 9 : Wala' Kepada Pemimpin


حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى أَخْبَرَنَا الْمُغِيرَةُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْحِزَامِيُّ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ يَعْصِنِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ يُطِعْ الْأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ يَعْصِ الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي و حَدَّثَنِيهِ زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا ابْنُ عُيَيْنَةَ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَلَمْ يَذْكُرْ وَمَنْ يَعْصِ الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي
Maksudnya : Yahya bin Yahya telah menceritakan kepada kamial-Mughirah bin cAbd al-Rahman al-Hizami telah mengabarkan kepada kami daripada Abi al-Zinad daripada al- A’raj daripada Abi Hurairah daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Barangsiapa mentaatiku sungguh dia telah mentaati Allah, dan barangsiapa bermaksiat kepadaku maka dia telah bermaksiat kepada Allah. Barangsiapa mentaati seorang pemimpin sungguh dia telah mentaatiku, dan siapa saja bermaksiat kepada seorang pemimpin maka dia telah bermaksiat kepadaku”. Dan Zuhair bin Harb telah menceritakan kepadaku, Ibn cUyainah telah menceritakan kepada kami  daripada Abi al-Zinad  dengan isnad ini, namun dia tidak menyebutkan, “Barangsiapa bermaksiat kepada seorang pemimpin”.[1]

Dengar Dan Taat Ketika Susah dan Senang

و حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ مَنْصُورٍ وَقُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ كِلَاهُمَا عَنْ يَعْقُوبَ قَالَ سَعِيدٌ حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِي حَازِمٍ عَنْ أَبِي صَالِحٍ السَّمَّانِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْكَ السَّمْعَ وَالطَّاعَةَ فِي عُسْرِكَ وَيُسْرِكَ وَمَنْشَطِكَ وَمَكْرَهِكَ وَأَثَرَةٍ عَلَيْكَ
Maksudnya : Sacid bin Mansur dan Qutaibah bin Sacid telah menceritakan kepada kami  daripada Ya’qub, Sacid mengatakan : Ya’qub bin cAbd al-Rahman telah menceritakan kepada kami  daripada Abi Hazim daripada Abi Salih al-Samman daripada Abi Hurairah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Wajib bagi kalian untuk mendengar dan taat samada dalam keadaan susah mahupun senang, dalam perkara yang disukai dan dibenci dan biarpun merugikan kepentinganmu.”[2]

Taat Sekalipun Yang Memimpin Seorang Hamba Yang Cacat

و حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ بَرَّادٍ الْأَشْعَرِيُّ وَأَبُو كُرَيْبٍ قَالُوا حَدَّثَنَا ابْنُ إِدْرِيسَ عَنْ شُعْبَةَ عَنْ أَبِي عِمْرَانَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الصَّامِتِ عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ إِنَّ خَلِيلِي أَوْصَانِي أَنْ أَسْمَعَ وَأُطِيعَ وَإِنْ كَانَ عَبْدًا مُجَدَّعَ الْأَطْرَافِ و حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ ح و حَدَّثَنَا إِسْحَقُ أَخْبَرَنَا النَّضْرُ بْنُ شُمَيْلٍ جَمِيعًا عَنْ شُعْبَةَ عَنْ أَبِي عِمْرَانَ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَقَالَا فِي الْحَدِيثِ عَبْدًا حَبَشِيًّا مُجَدَّعَ الْأَطْرَافِ و حَدَّثَنَاه عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ مُعَاذٍ حَدَّثَنَا أَبِي حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ أَبِي عِمْرَانَ بِهَذَا الْإِسْنَادِ كَمَا قَالَ ابْنُ إِدْرِيسَ عَبْدًا مُجَدَّعَ الْأَطْرَافِ
Maksudnya : Abu Bakr bin Abi Shaibah, cAbdullah bin Barrad al-Ashcari dan Abu Kuraib telah menceritakan kepada kami, mereka berkata : Ibn Idris telah menceritakan kepada kami  daripada Shu'bah daripada Abi cImran daripada cAbdullah bin Samit daripada Abi Dhar berkata  : Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah) berwasiat kepadaku untuk selalu mendengar dan taat walaupun terhadap hamba yang cacat sebahagian anggota badannya”.  Muhammad bin Bashar telah menceritakan kepada kami, Muhammad bin Ja’far telah menceritakan kepada kami. (dalam jalur lain disebutkan) Ishaq telah menceritakan kepada kami,  al-Nadr bin Shumail telah mengabarkan kepada kami, mereka semua telah meriwayatkan daripada Shu'bah daripada Abi cImran  dengan isnad ini, dan dia menyebutkan dalam hadithnya, “Seorang hamba Habsyi yang cacat sebahagian anggota badannya”.  cUbaidullah bin Mucadh telah menceritakan kepada kami, ayahku (Mucadh) telah menceritakan kepada kami, Shu’bah telah menceritakan kepada kami  daripada Abi cImran dengan isnad ini, sebagaimana perkataan Ibn Idris , iaitu, “Seorang hamba yang cacat sebahagian anggota badannya”.[3]

Tidak Ada Ketaatan Dalam Perkara Maksiat Kepada Allah

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى وَابْنُ بَشَّارٍ وَاللَّفْظُ لِابْنِ الْمُثَنَّى قَالَا حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ زُبَيْدٍ عَنْ سَعْدِ بْنِ عُبَيْدَةَ عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عَلِيٍّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ جَيْشًا وَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ رَجُلًا فَأَوْقَدَ نَارًا وَقَالَ ادْخُلُوهَا فَأَرَادَ نَاسٌ أَنْ يَدْخُلُوهَا وَقَالَ الْآخَرُونَ إِنَّا قَدْ فَرَرْنَا مِنْهَا فَذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لِلَّذِينَ أَرَادُوا أَنْ يَدْخُلُوهَا لَوْ دَخَلْتُمُوهَا لَمْ تَزَالُوا فِيهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَقَالَ لِلْآخَرِينَ قَوْلًا حَسَنًا وَقَالَ لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ
Maksudnya : Muhammad bin Muthanna dan Ibn Bashar telah menceritakan kepada kami  (lafadznya dari Ibn Muthanna), keduanya berkata : Muhammad bin Ja’far telah menceritakan kepada kami, Shu’bah telah menceritakan kepada kami daripada Zubaid daripada Sa’d bin cUbaidah daripada Abi cAbd al-Rahman daripada cAli berkata bahawa, “Rasulullah SAW pernah mengirim suatu pasukan dan mengangkat seorang laki-laki menjadi komandannya. Kemudian dia menyalakan api (unggun) seraya berkata : “Masuklah kalian ke dalam api tersebut”. Maka sebahagian anak buahnya (platon) hendak masuk ke dalam api tersebut, sedangkan sebahagian anak buahnya yang lain mengatakan : “Kita harus menjauhi api tersebut”. Kemudian peristiwa tersebut dilaporkan kepada Rasulullah SAW, lantas baginda bersabda kepada orang-orang yang hendak melompat ke dalam api tersebut: “Sekiranya kalian masuk ke dalam api tersebut, maka kalian akan sentiasa di dalamnya sehingga hari Kiamat”. Kemudian baginda berkata pula kepada yang lain dengan lemah lembut dengan sabdanya: “Tidak ada ketaatan dalam kemaksiatan kepada Allah, hanyasanya ketaatan itu di dalam kebajikan”.[4]

Makna Kalimah :

1.      أَطَاعَنِي : Berasal daripada kalimah طَاعَ يطيع طَاعةَ. Taat bermaksud menurut segala yang diperintahkan
2.      يَعْصِنِي : Maksiat bermaksud keluar daripada ketaatan
3.      مَنْشَطِكَ : Sesuatu yang menarik perhatian kamu
4.      مُجَدَّعَ الْأَطْرَافِ : Terputus sebahagian anggotanya iaitu hamba yang dipandang hina
5.      فَأَوْقَدَ : Memimpin

Huraian :

Hadith-hadith di atas menjelaskan kepada kita tentang kewajiban menurut segala perintah seorang pemimpin yang dipilih di dalam urusan dunia sekalipun dalam keadaan susah atau senang, benci atau suka terhadap arahan yang diberikan selagi mereka tidak memerintahkan supaya melakukan maksiat. Jika mereka mengarahkan supaya melakukan maksiat, tidak ada lagi ketaatan kepada mereka seperti yang dijelaskan di dalam hadith tersebut.

            Baginda SAW juga memerintahkan kepada kita supaya melakukan ketaatan kepada seorang pemimpin walaupun mereka berasal daripada keturunan yang rendah, berkulit hitam dan cacat sebahagian anggotanya. Sebahagian ulama’ mengharuskan seorang hamba menjadi pemimpin dalam urusan-urusan tertentu. Manakala dalam pemerintahan wilayah, disyaratkan seseorang yang bebas (bukan hamba) memegang tampuk pemerintahan tersebut.

            Ketaatan di sini bermaksud selagi mana mereka beriltizam dengan Islam serta mengajak diri dan masyarakat supaya berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam segenap lapangan hidup. Jika sekiranya mereka melakukan kemungkaran, hendaklah memberi nasihat dan teguran kepada mereka dengan cara bijaksana. Sekiranya mereka mengarahkan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam atau melakukan maksiat, tidak ada lagi kewajiban terhadap makhluq dalam melakukan maksiat terhadap khaliq.

Pengajaran :

1.      Kepatuhan terhadap seseorang pemimpin dalam setiap urusan hidup merupakan jaminan terhadap kesatuan ummah. Manakala penderhakaan terhadap mereka akan membuka ruang perselisihan dan kerosakan kepada agama dan dunia.

2.      Setiap Muslim berhak menasihati pemimpin dengan cara bijaksana bersesuaian dengan kuasa yang ada pada setiap individu.

3.      Kepatuhan terhadap seorang pemimpin tidak mutlaq sebagaimana ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Ketaatan terhadap pemimpin mempunyai sempadan tertentu selagi mereka tidak mengarahkan supaya melakukan maksiat terhadap Allah.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Wajib Taat Kepada Pemimpin Dalam Semua Perkara Selain Maksiat , Hadith no.3417
[2] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Wajib Taat Kepada Pemimpin Dalam Semua Perkara Selain Maksiat , Hadith no.3419
[3] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Wajib Taat Kepada Pemimpin Dalam Semua Perkara Selain Maksiat , Hadith no.3420
[4] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Wajib Taat Kepada Pemimpin Dalam Semua Perkara Selain Maksiat , Hadith no.3424

No comments:

Post a Comment