Sunday 29 April 2012

Hadith 8 : Pemimpin Yang Adil


حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَزُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ وَابْنُ نُمَيْرٍ قَالُوا حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ عَنْ عَمْرٍو يَعْنِي ابْنَ دِينَارٍ عَنْ عَمْرِو بْنِ أَوْسٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ ابْنُ نُمَيْرٍ وَأَبُو بَكْرٍ يَبْلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي حَدِيثِ زُهَيْرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْمُقْسِطِينَ عِنْدَ اللَّهِ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ عَنْ يَمِينِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ وَكِلْتَا يَدَيْهِ يَمِينٌ الَّذِينَ يَعْدِلُونَ فِي حُكْمِهِمْ وَأَهْلِيهِمْ وَمَا وَلُوا
Maksudnya : Abu Bakr bin Abi Shaibah, Zuhair bin Harb dan Ibn Numair telah menceritakan kepada kami, mereka berkata Sufyan bin cUyainah telah menceritakan kepada kami  daripada cAmru (Ibn Dinar) daripada cAmru  bin Aus daripada Abdullah bin cAmru, -dan Ibn Numair dan Abu Bakr mengatakan sesuatu yang sampai kepada Nabi SAW, dan dalam hadith Zuhair- dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah di atas mimbar yang dibuat dari cahaya, di sebelah kanan al-Rahman cazz wajall -sedangkan kedua tangan Allah adalah kanan semua-, yaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang di bebankan kepada mereka.”[1]

Makna Kalimah :

1.      الْمُقْسِطون : Berasal daripada kalimah  أقْسَط يقْسِط اقْسَاطاyang memberi maksud orang-orang yang melaksanakan keadilan di dalam pemerintahan.

2.      مَنَابِر : Jamak bagi kata nama منبر yang juga memberi maksud sesuatu yang tinggi.

3.      يَمِينٌ : Diambil daripada kalimah “اليمن yang menunjukkan sesuatu keadaan yang baik serta kedudukan yang tinggi.

4.      وَلُوا : Jawatan yang pernah mereka terima

Huraian :

Hadith ini menjelaskan tentang kelebihan pemimpin yang adil serta balasan baik yang akan diperolehi sekiranya mereka menjalankan amanah yang diberi dengan sebaik-baiknya tanpa sebarang kezaliman, pencabulan hak, rasuah serta jenayah-jenayah lain. Pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik mampu memberi tauladan yang baik kepada rakyat seluruhnya. Sebaliknya, kepimpinan yang zalim akan memberi kesan yang buruk terhadap diri, masyarakat dan negara seluruhnya.

Al-Qadi cIyyad berkata bahawa yang dimaksudkan dengan mimbar ialah mimbar secara haqiqi dan juga mengandungi makna metafora (kinayah) iaitu satu kedudukan yang tinggi dan mulia. Justeru, Imam al-Nawawi telah mengambil jalan menghimpunkan kedua-dua pandangan ini dengan menjelaskan bahawa pemimpin yang berlaku adil di dalam setiap gerak kerjanya akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah iaitu di atas mimbar yang tinggi.

Hadith ini juga menyebut tentang salah satu daripada sifat-sifat Allah iaitu “tangan kanan al-Rahman”. Ulama’ telah berselisih pendapat mengenai hadith-hadith sifat. Terdapat diantara mereka yang beriman dengan hadith tersebut tanpa mengubah maknanya yang asal (takwil) seperti jumhur ulama’ Salaf dan sebahagian ulama’ Mutakallimin. Manakala sebahagian lain berpendapat bahawa hadith-hadith atau ayat-ayat yang berkaitan dengan sifat hendaklah diubah maknanya kepada makna lain yang bersesuaian dengan keagungan dan kesempurnaan Allah seperti pendapat kebanyakan ulama’ Mutakallimin.

Al-Qadi cIyyad berkata yang dimaksudkan dengan “kanan” ialah satu keadaan yang baik serta kedudukan yang tinggi. Manakala Ibn cArafah pula berpendapat bahawa kebanyakan orang arab jika ingin menunjukkan sesuatu yang baik dan terpuji, mereka akan menggunakan sesuatu yang berada di sebelah kanan dan sebaliknya akan menisbahkan kepada anggota kiri sekirnya menunjukkan sesuatu yang hina.

Manakala maksud “Orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang di bebankan kepada mereka” pula adalah merupakan salah satu kelebihan kepada mana-mana pemimpin disemua peringkat yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Mereka berhak mendapat kedudukan yang tinggi dihadapan Allah kerana telah melaksankan hubungan yang baik dengan Allah dan dalam masa yang sama berlaku baik terhadap manusia.

Pengajaran :

1.      Galakan kepada pemimpin supaya melaksankan tanggungjawab dengan adil.
2.      Pemimpin yang adil berhak mendapat kedudukan mulia disisi Allah.
3.      Kepentingan merapatkan hubungan sesama manusia untuk mendapat keredaan Allah.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Kelebihan Imam Adil, Akibat Zalim Serta Galakan Supaya Sentiasa Bersama Rakyat, Hadith no.3406

No comments:

Post a Comment