Monday 23 April 2012

Hadith 7 : Makruh Meminta-minta Sesuatu Jawatan



حَدَّثَنَا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ شُعَيْبِ بْنِ اللَّيْثِ حَدَّثَنِي أَبِي شُعَيْبُ بْنُ اللَّيْثِ حَدَّثَنِي اللَّيْثُ بْنُ سَعْدٍ حَدَّثَنِي يَزِيدُ بْنُ أَبِي حَبِيبٍ عَنْ بَكْرِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ الْحَارِثِ بْنِ يَزِيدَ الْحَضْرَمِيِّ عَنْ ابْنِ حُجَيْرَةَ الْأَكْبَرِ عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَسْتَعْمِلُنِي قَالَ فَضَرَبَ بِيَدِهِ عَلَى مَنْكِبِي ثُمَّ قَالَ يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا
Maksudnya : cAbd al-Malik bin Shucaib bin Laith telah menceritakan kepada kami, telah menceritakan kepadaku bapakku Shucaib bin Laith,  Laith bin Sad telah menceritakan kepadaku, Yazid bin Abu Habib telah menceritakan kepadaku  daripada Bakr bin cAmr daripada al-Harith bin Yazid al-Hadramiy daripada Ibn Hujairah al-Akbar daripada Abu Dhar dia berkata, saya bertanya, "Wahai Rasulallah, sudikah tuanku melantikku sebagai seorang pegawai?" Abu Dhar berkata, "Kemudian baginda menepuk bahuku dengan tangan baginda seraya bersabda: "Wahai Aba Dhar, kamu ini lemah (untuk memegang jawatan), sedangkan jawatan itu merupakan satu amanah. Kelak pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi siapa yang mengambilnya dengan haq dan melaksanakan tugas dengan benar."[1]

Makna Kalimah :

1.      تَسْتَعْمِلُنِي : Berasal daripada kalimah اسْتَعْمل يسْتَعْمِلُ اسْتعْمِلا yang bermaksud meminta pekerjaan
2.      خِزْيٌ : Mendapat bencana, keburukan dan kecelakaan (al-Mu’jam al-Wasit)

Huraian :

Hadith ini diriwayatkan oleh sebilangan ramai perawi iaitu empat puluh orang daripada kalangan para tabicin yang meriwayaatkan antara satu sama lain. Di dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Wahai Wahai Aba Dhar, sesungguhnya aku melihat mu sebagai seorang yang lemah (daripada menerima jawatan), sedangkan aku mencintaimu sepertimana aku mencintai diriku. Janganlah kamu menjadi pemimpin di antara dua orang dan janganlah kamu menguasai harta anak yatim”.[2]

            Hadith ini menjadi dasar terpenting dalam permasalahan seseorang yang meminta-minta jawatan terutamanya bagi yang tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab pekerjaan tersebut. Mereka berhak mendapat kecelakaan dan penyesalan kerana mereka tidak berkelayakan di dalam pekerjaan yang diminta, atau mereka layak tetapi tidak menjalankan amanah yang diberikan secara adil akan dihina oleh Allah pada hari kiamat kelak dan dalam masa yang sama mereka akan menyesal terhadap apa yang telah mereka lakukan di dunia.

            Sebaliknya, sesiapa yang berkelayakan untuk memegang tampuk kepimpinan serta berlaku adil di dalam pemerintahannya akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Tuhannya seperti yang dijelaskan oleh baginda SAW “Tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan di bawah naungan cArsh Allah (di hari kiamat kelak) ketika manusia tidak mendapat perlindungan selain perlindunganNya, antaranya ialah pemimpin yang adil…”[3]  

Pengajaran :

1.      Seseorang yang tidak berkelayakan di dalam sesuatu pekerjaan tidak sepatutnya meminta-minta jawatan tersebut dibimbangi tidak dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya.
2.      Sikap tamak terhadap jawatan akan membawa penyesalan di hari pembalasan.
3.      Pemimpin yang adil akan mendapat pertolongan daripada Allah serta disenangi oleh rakyatnya.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Makruh Meminta Jawatan Tanpa Darurat, Hadith no.3404
[2] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Makruh Meminta Jawatan Tanpa Darurat, Hadith no.3405
[3] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Azan, Bab Sesiapa yang Duduk di Masjid Menunggu Waktu Solat, Hadith no.620

No comments:

Post a Comment