Tuesday 8 May 2012

Hadith 10 : Sabar Terhadap Kezaliman Pemerintah


حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى وَمُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ قَالَا حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ قَالَ سَمِعْتُ قَتَادَةَ يُحَدِّثُ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ أُسَيْدِ بْنِ حُضَيْرٍ أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ خَلَا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَلَا تَسْتَعْمِلُنِي كَمَا اسْتَعْمَلْتَ فُلَانًا فَقَالَ إِنَّكُمْ سَتَلْقَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً فَاصْبِرُوا حَتَّى تَلْقَوْنِي عَلَى الْحَوْضِ و حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ حَبِيبٍ الْحَارِثِيُّ حَدَّثَنَا خَالِدٌ يَعْنِي ابْنَ الْحَارِثِ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ بْنُ الْحَجَّاجِ عَنْ قَتَادَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَنَسًا يُحَدِّثُ عَنْ أُسَيْدِ بْنِ حُضَيْرٍ أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ خَلَا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمِثْلِهِ و حَدَّثَنِيهِ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ مُعَاذٍ حَدَّثَنَا أَبِي حَدَّثَنَا شُعْبَةُ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَلَمْ يَقُلْ خَلَا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya : Muhammad bin al-Muthanna dan Muhammad bin Bashhar telah menceritakan kepada kami,  keduanya berkata bahawa Muhammad bin Ja'far telah menceritakan kepada kami, Shu'bah telah menceritakan kepada kami, dia berkata, saya pernah mendengar Qatadah menceritakan daripada Anas bin Malik daripada Usaid bin Khudair bahawa seorang lelaki Ansar menemui Rasulullah SAW seraya berkata : “Tidakkah tuanku ingin mengangkatku menjadi pegawai sebagaimana tuanku mengangkat fulan (menjadi pegawai)? Baginda bersabda: Sesungguhnya sepeninggalanku kelak, kamu akan menjumpai (penguasa) yang mementingkan diri sendiri. Maka sabarlah hingga kalian berjumpa denganku di telaga”.  Yahya bin Habib al-Harithi telah menceritakan kepadaku, Khalid -iaitu Ibn al- Harith- telah menceritakan kepada kami, Shu'bah bin al-Hajjaj telah menceritakan kepada kami  daripada Qatadah dia berkata : Saya mendengar Anas bercerita daripada Usaid bin Khudair, bahawa seorang lelaki Ansar menemui Rasulullah SAW sendirian…seperti hadith di atas. Dan cUbaidullah bin Mucadh telah menceritakan kepadaku, ayahku telah menceritakan kepada kami, Shu'bah telah menceritakan kepada kami  dengan isnad ini, namun dia tidak menyebutkan, Ia menemui Rasulullah SAW sendirian.[1]

Makna Kalimah :
1.      أَثَرَة : Memuliakan diri sendiri serta melebihkan keperluan sendiri
2.      فَاصْبِرُوا : Lawan bagi cemas
3.      الْحَوْض : Telaga atau Perigi

Huraian :
Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita tentang keadaan yang akan berlaku pada akhir zaman. Antaranya ialah seseorang pemimpin tidak lagi menguruskan tampuk kepimpinannya dengan baik. Bahkan menggunakan peluang yang ada untuk mengaut sebanyak mungkin kekayaan dan pangkat untuk kepentingan individu atau kroni. Kepimpinan tidak lagi dilihat sebagai salah satu amanah yang perlu dipikul untuk kepentingan masyarakat seluruhnya.

            Hal ini demikian kerana terdapat satu penyakit merbahaya yang muncul dalam kalangan manusia hari ini ialah penyakit cintakan dunia dan takut mati (al-Wahn). Penyakit ini muncul setelah ilmu agama tidak lagi diutamakan, amal islami dicop sebagai ketinggalan zaman, gejala maksiat berleluasa yang akhirnya membawa manusia kepada kelalaian hidup di dunia. Manusia berlumba-lumba mencari pangkat dan kekayaan sehingga lupa tugas sebenar mereka sebagai seorang hamba kepada penciptanya.

            Sikap individualistik sangat menebal di dalam diri sehingga membawa kepada pemujaan diri. Setiap kesalahan yang dilakukan tidak boleh ditegur kerana akan melanggar hak kebebasan mereka. Hal inilah yang terbawa-bawa apabila mereka memegang tampuk pemerintahan sesebuah atau memegang mana-mana jawatan. Akhirnya, sistem keadilan yang sebenar bertukar menjadi zalim serta merampas hak masyarakat berlaku dengan berleluasa. Nabi SAW pernah ditanya tentang seorang pemimpin yang tidak menunaikan tanggungjawab mereka. Lalu baginda bersabda :

            “Dengarkan dan taatilah, sesungguhnya mereka akan mempertanggung jawabkan atas semua perbuatan mereka sebagaimana kalian juga akan mempertanggung jawabkan semua perbuatan kalian.” [2]

            Juster, Nabi SAW menyeru masyarakat supaya bersabar terhadap kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah. Hal ini tidak bermakna masyarakat harus berdiam diri menghadapi kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin, bahkan mereka sepatutnya menasihati para pemimpin dengan cara yang bijaksana supaya mereka kembali mengamalkan tuntutan-tuntutan Islam yang sebenar.

Pengajaran :

1.      Umat Islam dituntut bersabar menghadapi pemerintah yang zalim

2.      Pemimpin yang mementingkan diri sendiri tidak akan kekal lama dalam jawatan tersebut

3.      Nilai-nilai Islam semakin terhakis apabila peristiwa kiamat hampir menjelang


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Perintah Bersabar Terhadap Pemerintah , Hadith no.3432

[2] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Taat Kepada Pemimpin Sekalipun Mereka Mengabaikan Hak , Hadith no.3433

No comments:

Post a Comment