Wednesday, 23 May 2012

Hadith 14 : Tanggungjawab Setiap Pemimpin


حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا لَيْثٌ ح و حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ رُمْحٍ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ نَافِعٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya : Qutaibah bin Sacid telah menceritakan kepada kami, Laith telah menceritakan kepada kami. Di dalam jalur lain disebutkan bahawa Muhammad bin Rumh telah menceritakan kepada kami, Laith telah menceritakan kepada kami daripada Nafi’ daripada Ibn cUmar daripada Nabi SAW bersabda : “Ketahuilah bahawa setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin manusia akan bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemimpin ke atas keluarganya, dan dia bertanggungjawab ke atas mereka semua. Seorang wanita juga pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab ke atas mereka semua. Seorang hamba adalah pemimpin ke atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab ke atas kepemimpinannya.” [1]

Makna Kalimah :

1.      رَاع : Pemimpin, penjaga amanah yang sentiasa membuat kebaikan.
2.      مَسْئُولٌ : Orang yang bertanggungjawab terhadap sesuatu.

Huraian :

Islam telah menetapkan bahawa asas terhadap sesebuah kepimpinan ialah berlemah-lembut terhadap yang dipimpin, memaafkan kesalahan mereka, berbuat baik serta mengajak mereka melakukan perkara-perkara yang membawa kebaikan bersama. Setiap manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing dan akan dipertanggungjawabkan ke atas apa yang dipimpin. Meraka akan ditanya pada hari kiamat kelak samada mereka menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka atau sebaliknya.

            Pemimpin sesebuah negara bertanggungjawab menjaga kebajikan, keamanan dan keselamatan rakyatnya dengan memastikan sistem ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan sebagainya diurus dengan cekap dan bijaksana. Sistem kawalan keselamatan perlu diperkasa setiap masa. Sistem ekonomi perlu dimantapkan agar negara tidak mengalami krisis ekonomi yang parah pada jangka masa panjang. Sistem pendidikan yang efektif perlu ditekankan serta mengambil kira pandangan Islam dalam semua aspek tersebut.

Seorang lelaki atau suami bertanggungjawab memastikan kelangsungan hidup isteri, anak-anak serta kaum keluarga kedua-dua belah pihak. Seorang isteri pula bertanggungjawab menjaga anak-anak serta harta suami ketika suami tiada dirumah. Malahan orang suruhan juga bertanggugjawab menjaga keselamatan rumah tuannya. Ini menunjukkan bahawa Islam mengambil kira semua keadaan muslim daripada sebesar-besar perkara sehingga sekecil-kecil urusan samada mereka kaya, miskin, tua, muda dan sebagainya.

Pengajaran :

1.      Setiap manusia merupakan pemimpin yang perlu menjaga amanah yang telah ditetapkan kepada mereka.

2.      Seorang pemimpin hendaklah memimpin dengan adil serta melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Kelebihan Imam Adil, Akibat Zalim Serta Galakan Supaya Sentiasa Bersama Rakyat, Hadith no.3408

1 comment: