Wednesday 16 May 2012

Hadith 11 : Bara' Terhadap Pemimpin


حَدَّثَنَا هَدَّابُ بْنُ خَالِدٍ الْأَزْدِيُّ حَدَّثَنَا هَمَّامُ بْنُ يَحْيَى حَدَّثَنَا قَتَادَةُ عَنْ الْحَسَنِ عَنْ ضَبَّةَ بْنِ مِحْصَنٍ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَتَكُونُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ عَرَفَ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ قَالُوا أَفَلَا نُقَاتِلُهُمْ قَالَ لَا مَا صَلَّوْا
Maksudnya : Haddab bin Khalid al-Azdiy telah menceritakan kepada kami, Hammam bin Yahya telah menceritakan kepada kami, Qatadah telah menceritakan kepada kami  daripada al-Hasan daripada Dabbah bin Mihsan daripada Ummi Salamah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang (pada suatu masa) para penguasa yang kalian mengenal mereka namun kalian mengingkari (perbuatan mereka). Barangsiapa yang tahu (kemungkarannya) hendaklah berlepas diri, dan barangsiapa mengingkari maka ia telah selamat. Tetapi bagi yang reda dan mengikuti (kemungkaran tersebut)”, para sahabat menyelah, “Bagaimana jika kita perangi sahaja mereka?” Baginda menjawab: “Tidak, selama mereka masih solat.”[1]

Makna Kalimah :

بَرِئَ : Berlepas diri dan terselamat daripada dosa dan perbuatan buruk yang dilakukan oleh pemerintah

Huraian :

Hadith di atas merupakan salah satu mukjizat yang dikurniakan kepada baginda SAW iaitu gambaran yang jelas tentang peristiwa yang akan berlaku pada zaman akan datang. Baginda SAW menjelaskan kepada kita tentang konsep al-Bara’ iaitu sikap tidak menyokong kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang pemimpin yang dilakukan secara terang-terangan. Peristiwa yang dijelaskan oleh Nabi SAW ini telah berlaku pada zaman ini.

            Episod kezaliman dan kekejaman yang dilakukan oleh pemerintah tidak pernah hilang dan akan berterusan selagimana mereka tidak berpegang kepada ajaran dan contoh yang ditunjukkan oleh baginda SAW. Sebagai seorang rakyat, kita dikehendaki membenci kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah serta menasihati mereka, bukannya menjadi penyokong tegar terhadap kezaliman tersebut. Sesiapa yang berlepas diri daripada kezaliman, mereka akan terselamat daripada dosa dan angkara buruk yang dilakukan oleh pemerintah tersebut.

            Sebaliknya, orang-orang yang suka, reda serta mengikut kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah akan memperoleh dosa dan balasan buruk setimpal dengan perbuatan yang telah mereka lakukan. Hal ini demikian kerana mereka seolah-olah merestui kezaliman yang dijalankan oleh seseorang pemerintah sehingga mereka senang dan selesa dengannya. Namun, seorang muslim dilarang keluar daripada pemerintahan Islam serta membunuh pemimpin dengan sebab kezaliman dan kefasikan yang dilakukan selagimana mereka tidak keluar daripada batas-batas Islam.

Pengajaran :

1.      Wajib membenci kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah
2.      Wajib menasihati pemerintah sesuai dengan kemampuan yang ada pada seseorang
3.      Reda dengan maksiat yang dilakukan oleh pemerintah membawa kepada keburukan yang lebih besar


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Wajib Mengingkari Pemimpin Yang Menyalahi Syara’ Serta Tidak Membunuh Mereka Selagi Mereka Menunaikan Solat, Hadith no.3445

No comments:

Post a Comment