Tuesday 22 May 2012

Hadith 12 : Sebaik-baik Dan Seburuk-buruk Pemerintah


حَدَّثَنَا إِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الْحَنْظَلِيُّ أَخْبَرَنَا عِيسَى بْنُ يُونُسَ حَدَّثَنَا الْأَوْزَاعِيُّ عَنْ يَزِيدَ بْنِ يَزِيدَ بْنِ جَابِرٍ عَنْ رُزَيْقِ بْنِ حَيَّانَ عَنْ مُسْلِمِ بْنِ قَرَظَةَ عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ فَقَالَ لَا مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلَاتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ وَلَا تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ
Maksudnya : Ishaq bin Ibrahim al-Hanzali telah menceritakan kepada kami, cIsa bin Yunus telah mengabarkan kepada kami, al-Auzaci telah menceritakan kepada kami daripada Yazid bin Yazid bin Jabir daripada Zuraiq bin Hayyan daripada Muslim bin Qarazah daripada cAuf bin Malik daripada Rasulullah SAW bersabda : “Sebaik-baik pemimpin dalam kalangan kalian ialah mereka yang mencintai kalian dan kalian mencintai mereka, mereka mendoakan kalian dan kalian mendoakan mereka. Dan seburuk-buruk pemimpin ialah mereka yang membenci kalian dan kalian membenci mereka, mereka mengutuk kalian dan kalian mengutuk mereka”. Baginda ditanya : “Wahai Rasulullah, adakah patut kita memerangi mereka?”  Baginda bersabda: “Tidak, selagi mereka mendirikan solat bersama kalian. Jika kalian melihat dari pemimpin kalian sesuatu yang tidak baik maka bencilah tindakannya, dan janganlah kalian melepaskan diri daripada ketaatan kepada mereka.” [1]

Makna Kalimah :
1.      يُصَلُّونَ : Berasal daripada kalimah صَلّى يُصَلُّ yang memberi maksud seorang pemimpin yang berdoa kepada rakyatnya.

2.      تُبْغِضُونَهُمْ : Berasal daripada kalimah بغِض يبْغِضُ yang memberi maksud seorang pemimpin yang membenci rakyatnya.

Huraian :
Dua nikmat yang Allah kurniakan kepada umat Islam iaitu nikmat keamanan dan nikmat kesatuan. Nikmat keamanan dapat dikecapi oleh setiap muslim dalam erti kata diri, harta serta maruah mereka tidak boleh diceroboh dengan sewenang-wenangnya tanpa sebarang tujuan kecuali apabila mereka melanggar garis panduan yang telah ditetapkan di atas mereka seperti berzina, membunuh, murtad dan sebagainya. Manakala nikmat kesatuan pula dapat dilihat dalam perhubungan mereka seperti mengutamakan orang lain walaupun diri sendiri sangat berhajat kepadanya.

            Kepimpinan merupakan suatu amanah dan tanggungjawab yang sangat berat bagi yang memikulnya. Dalam masa yang sama mereka akan menerima akibat buruk di akhirat kelak apabila tidak menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya. Kesalahan dan kesilapan dalam memerintah menyebabkan seseorang pemerintah memiliki ramai musuh, kegelisahan di dalam hati sehingga terpaksa memerangi orang yang tidak sependapat dengannya. Inilah realiti sebuah pemerintahan yang penuh dengan liku-liku cabaran dan fitnah.

            Hadith di atas menjelaskan kepada kita tentang situasi sesebuah pemerintahan yang disukai dan dibenci oleh rakyatnya. Pemerintahan yang baik akan melahirkan rakyat yang cinta, setia dan sentiasa mendoakan antara satu sama lain. Dengan demikian, lahirlah keamanan dan kesatuan dalam sesebuah negara. Dalam masa yang sama, pergaduhan, pertelingkahan, kerosakan dan segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik dan sistematik.

            Sebaliknya, kepimpinan yang zalim dan menindas melahirkan rakyat yang benci kepadanya. Para pemimpin menindas rakyat dan dalam masa yang sama rakyat mencaci serta membenci pemimpin. Dengan demikian, lahirlah pelbagai kerosakan dan masalah-masalah hidup yang tidak dapat diselesaikan dengan sebab tiada keberkatan dalam sistem pemerintahan. Kepincangan dan kerosakan semakin berleluasa sehingga akhirnya membawa kepada kemerosotan dan kejatuhan sesebuah kerajaan itu sendiri.
Pengajaran :
1.      Kecintaan pemerintah terhadap rakyat, kesetiaan rakyat terhadap pemerintah serta doa di antara mereka adalah merupakan salah satu tanda kecintaan dan keredaan Allah terhadap mereka.

2.      Kebencian pemerintah terhadap rakyat, kemarahan rakyat terhadap pemerintah merupakan salah satu tanda kemurkaan Allah terhadap mereka.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kepimpinan, Bab Sebaik-baik dab Seburuk-buruk Pemerintah, Hadith no.3447

No comments:

Post a Comment