Friday 16 March 2012

Hadith 1 : Beruntunglah Orang-orang yang Asing

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبَّادٍ وَابْنُ أَبِي عُمَرَ جَمِيعًا عَنْ مَرْوَانَ الْفَزَارِيِّ قَالَ ابْنُ عَبَّادٍ حَدَّثَنَا مَرْوَانُ عَنْ يَزِيدَ يَعْنِي ابْنَ كَيْسَانَ عَنْ أَبِي حَازِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
Maksudnya : “Muhammad bin cAbbad dan Ibn Abi cUmar telah berkata kepada kami daripada Marwan al-Fazari, Ibn Abbad berkata Marwan telah menceritakan kepada kami daripada Yazid iaitu Ibn Kaisan daripada Abi Hazim daripada Abi Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda : Pada awal munculnya Islam merupakan sesuatu yang asing, dan akan kembali menjadi asing seperti permulaannya. Maka berbahagialah orang-orang yang asing”.[1]

Makna Perkataan :
1.      غَرِيبًا  : Berasal daripada perkataan ightaraba yang bermaksud keseorangan dengan sebab tidak ada atau kurang yang berkelayakan. Hal ini demikian kerana kesabaran mereka menghadapi kesusahan yang dilakukan oleh orang kafir serta komitment mereka dalam agama Islam. Mereka ialah orang yang menghidupkan sunnah nabi ketika manusia melupakannya. (Lisan al-cArab)
2.      فَطُوبَى  : Kebaikan, keberuntungan. Nama salah satu pokok di dalam taman. (Lisan al-cArab)

Huraian :
Hadith ini menjelaskan tentang pandangan masyarakat terhadap agama Islam. Islam dianggap sebagai satu agama yang asing. Begitu juga dengan umat Islam yang mengamalkan sunnah dianggap asing, ketinggalan zaman, tidak mengikuti arus semasa dan dituduh dengan pelbagai tuduhan yang menyakitkan. Sementara budaya barat diangkat dan dipandang mulia dalam masyarakat.

            Sesuatu yang asing tidak bermaksud memiliki jumlah yang kecil atau terpinggir, bahkan memberi pengertian sesuatu yang berlainan daripada yang lain. Begitu juga apabila dikatakan bahawa umat Islam akan menjadi asing, tidak bermaksud menjelaskan tentang keadaan umat Islam yang hidup dalam satu kelompok kecil dan terasing. Bahkan memberi gambaran keadaan hidup yang berlainan daripada pola hidup masyarakat lain yang tidak mengamalkan Islam.

            Nabi SAW menggambarkan peristiwa yang akan terjadi selepas kewafatan baginda. Benarlah apa yang disabdakan oleh baginda di dalam hadith ini. Hari ini sunnah Nabi SAW bukan sahaja dipandang hina oleh masyarakat non-Muslim, bahkan masyarakat Islam sendiri turut menghina ajaran yang dibawa oleh baginda. Justeru, tidak hairanlah jika orang yang sanggup menghadapi zaman fitnah ini dijanjikan dengan keberuntungan oleh Nabi SAW.

Pengajaran :
1.      Sesuatu kebenaran tidak boleh dinilai berdasarkan kuantiti masyarakat yang mengamalkannya, bahkan kebenaran yang sebenar berdasarkan al-Quran serta al-Sunnah yang mulia sekalipun dinilai buruk oleh masyarakat.
2.      Orang Islam hendaklah sentiasa beristiqamah di atas ajaran Islam serta memelihara diri daripada terlibat dengan gejala sosial melampau yang menyebabkan pandangan negative masyarakat terhadap Islam.
3.      Nabi SAW memuji sikap mukmin yang mampu mengamalkan al-Quran dan al-Sunnah ketika masyarakat memandang hina terhadapnya.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim, Kitab Iman, Bab menerangkan tentang permuaan Islam dalam keadaan asing, Hadith no.210; Al-Tirmidhi, Kitab Iman daripada Rasulullah SAW, Bab menerangkan tentang permuaan Islam dalam keadaan asing, Hadith no.2553; Ahmad, Musnad Sepuluh yang dijanjikan Syurga, Musnad Abi Ishaq Saad bin Abi Waqqas, Hadith no.1518

No comments:

Post a Comment