Friday 23 March 2012

Hadith 3 : Ilmu Diangkat Serta Berleluasanya Arak dan Zina

حَدَّثَنَا عِمْرَانُ بْنُ مَيْسَرَةَ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ عَنْ أَبِي التَّيَّاحِ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُرْفَعَ الْعِلْمُ وَيَثْبُتَ الْجَهْلُ وَيُشْرَبَ الْخَمْرُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا

Maksudnya : “Diantara tanda-tanda kiamat ialah ilmu akan diangkat, kejahilan mula bertapak, arak akan diminum serta zina akan berlaku secara berleluasa”.[1]

Makna Perkataan :

1.      أَشْرَاطُ :  Berasal daripada perkataan “ شَرَطَ  يَشْرُطُ شَرْطاً” yang memberi makna tanda-tanda, alamat dan peristiwa yang akan terjadi pada akhir zaman. (Lisan al-cArab)
2.      يُرْفَعُ الْعِلْمُ : Naib al-Facil bagi perkataan “رَفَع  يَرْفَعُ  رَفْعاً ” yang memberi maksud ilmu akan diangkat oleh Allah. (Lisan al-cArab)
3.       يَثْبُتُ الْجَهْلُ: Naib al-Facil bagi perkataan “ثَبَتَ   يَثْبُتُ ثَباتاً ” yang memberi maksud kejahilan akan berlaku secara berleluasa. (Lisan al-cArab)
4.       يُشْرَبُ الْخَمْرُ: Naib al-Facil bagi perkataan “ شرب ” yang memberi maksud arak akan diminum secara meluas. (Lisan al-cArab)
5.       يَظْهَرُ الزِّنَا:  Berasal daripada perkataan “ظهر ” iaitu melakukan zina secara terang terangan. (Lisan al-cArab)

Huraian :

Antara tanda-tanda awal Qiamat ialah kejahilan yang mula melingkungi diri manusia. Kejahilan yang dimaksudkan di sini ialah kejahilan tentang agama. Ia boleh juga diistilah sebagai buta agama. Hal inilah yang menyebabkan berlakunya banyak perkara yang dilarang oleh agama.

Kejahilan ini berlaku disebabkan orang Islam sendiri tidak lagi berasa pentingnya memahami hukum hakam agama. Apa yang penting bagi mereka ialah mahir dalam ilmu-ilmu keduniaan yang boleh membantu mereka meningkatkan taraf hidup. Sementara ilmu agama yang bertujuan untuk memperkenalkan manusia dengan hakikat kehidupan, matlamat dan peraturan-peraturan kehidupan yang ditetapkan oleh Penciptanya tidak dipandang penting. Akhirnya yang berlaku ialah mereka sangat berjaya dalam mendapat pelbagai kenikmatan dunia dan hidup mewah.

Namun mereka gagal mengecapi kebahagiaan kerana hidup tidak dipandu oleh hukum Tuhan. Keruntuhan akhlak anak muda yang membimbangkan ibu bapa, jenayah kolar putih yang membingungkan pihak berkuasa. Jenayah rompak, rogol, bunuh yang menakutkan masyarakat. Keamanan dan keharmonian gagal dikecapi.

Semuanya berpunca daripada buta agama. Pengajian ilmu agama tidak mendapat sambutan sementara ilmuan Islam yang pakar pula dimatikan oleh Allah seorang demi seorang. Inilah yang dimaksudkan ilmu yang diangkat. Ini dijelaskan dalam sabda baginda bermaksud:

حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ أَبِي أُوَيْسٍ قَالَ حَدَّثَنِي مَالِكٌ عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut ilmu dari manusia dengan cara mengejut, tetapi Allah akan mencabutnya dengan cara mematikan para ulama’ sehingga tidak ada lagi seorang yang berilmu. Maka manusia melantik para pemimpin yang jahil serta bertanya kepadanya (tentang urusan agama). Mereka memberi fatwa tanpa ilmu yang sesat dan menyesatkan”.[2]

            Kiamat juga tidak akan terjadi selagi ada manusia yang menyebut kalimah Allah. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Baginda SAW :

حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ أَخْبَرَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ عَلَى أَحَدٍ يَقُولُ اللَّهُ اللَّهُ

Maksudnya : “Kiamat tidak akan terjadi pada seorang yang mengucap ‘Allah’ ‘Allah’”.[3]

Pengajaran :

1.      Umat Islam hendaklah sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu terutamanya ilmu agama untuk menyelamatkan mereka daripada fitnah akhir zaman.
2.      Kerosakan manusia adalah berpunca daripada kejahilan mereka tentang ilmu agama
3.      Islam mengajar umatnya supaya berhati-hati dengan apa yang akan terjadi serta mengambil cakna tentang isu-isu berkaitan masyarakat.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Kitab Ilmu, Bab Ilmu diangkat dan Munculnya Kejahilan, Hadith no.78; Hadith ini juga diriwayatkan oleh Muslim, Ibn Majah dan Ahmad.
[2] Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Kitab Ilmu, Bab Cara Ilmu di angkat,  Hadith no.98; Hadith ini juga diriwayatkan oleh Muslim, Tirmidhi, Ibn Majah dan Ahmad
[3] Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim, Kitab Iman, Bab berlalunya Iman pada akhir zaman, Hadith no.212

No comments:

Post a Comment