Thursday 22 March 2012

Hadith 2 : Larangan Bercita-cita untuk Mati


حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ رَافِعٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنْ هَمَّامِ بْنِ مُنَبِّهٍ قَالَ هَذَا مَا حَدَّثَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ أَحَادِيثَ مِنْهَا : وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ وَلَا يَدْعُ بِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُ إِنَّهُ إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمْ انْقَطَعَ عَمَلُهُ وَإِنَّهُ لَا يَزِيدُ الْمُؤْمِنَ عُمْرُهُ إِلَّا خَيْرًا

Maksudnya : “Jangan sesekali seorang di antara kamu menginginkan kematian dan janganlah kalian berdoa meminta supaya dimatikan sebelum datang waktunya. Apabila salah seorang daripada kalian meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya. Sesungguhnya tidaklah bertambah umur bagi seseorang Mukmin itu kecuali bertambah juga kebaikan baginya”.[1]

Makna Perkataan :
1.      يَتَمَنَّى : Bercita-cita serta berusaha untuk mendapatkan apa yang dicita. (Lisan al-cArab)
2.      انْقَطَعَ : Terputus, sesuatu yang ditinggalkan (Lisan al-cArab)

Huraian :
Hadith di atas menjelaskan bahawa akan datang kepada manusia suatu zaman yang sangat berat keadaannya dan tidak ada lagi jamaah Islam yang berdiri menegakkan kebenaran. Mereka hidup dalam keadaan tertekan sehingga pada sangkaan mereka mati lebih baik bagi mereka daripada hidup di dunia dalam keadaan demikian. Hal ini jelas menggambarkan fitnah yang akan berlaku kepada masyarakat sehingga hidup tidak lagi bermakna bagi mereka.

            Justeru, Rasulullah SAW menegaskan kepada kita bahawa seorang Muslim tidak boleh meminta supaya dipendekkan usianya sebelum datang ajal yang sebenar. Sesungguhnya setiap apa yang menimpa manusia merupakan satu ujian yang mampu ditanggung oleh mereka. Kita tidak sepatutnya  mengeluh atau merungut dengan ujian yang menimpa kerana ujian tersebut akan menghapuskan segala dosa dan akan mengangkat kedudukan kita di sisi pencipta. Nabi SAW bersabda :

حَدَّثَنَا عَبْدَانُ عَنْ أَبِي حَمْزَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ إِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيِّ عَنْ الْحَارِثِ بْنِ سُوَيْدٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ : دَخَلْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يُوعَكُ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ لَتُوعَكُ وَعْكًا شَدِيدًا قَالَ أَجَلْ إِنِّي أُوعَكُ كَمَا يُوعَكُ رَجُلَانِ مِنْكُمْ قُلْتُ ذَلِكَ أَنَّ لَكَ أَجْرَيْنِ قَالَ أَجَلْ ذَلِكَ كَذَلِكَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أَذًى شَوْكَةٌ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا سَيِّئَاتِهِ كَمَا تَحُطُّ الشَّجَرَةُ وَرَقَهَا

Maksudnya : cAbdan  telah menceritakan kepada kami  daripada Abi Hamzah daripada al- A'mash daripada Ibrahim al-Taimiy daripada al-Harith bin Suwaid daripada Abdillah dia berkata; “Saya pernah menjenguk Rasulullah SAW ketika baginda sedang menderita sakit, lalu aku berkata; Wahai Rasulullah, tuan seperti sedang merasakan sakit yang amat sangat. Baginda  bersabda: Benar, rasa sakit yang menimpaku ini sama seperti rasa sakit yang menimpa dua orang daripada kalian. Kataku selanjutnya; Sebab itu anda mendapatkan pahala dua kali lipat. Baginda menjawab: Benar, seperti itulah, dan tidaklah seorang muslim yang tertimpa suatu musibah (penyakit) atau yang lain, melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya sebagaimana pohon menggugurkan dedaunannya.”[2]

            Namun, sekiranya ujian yang menimpa seseorang itu sangat berat, hendaklah mereka berdoa kepada Allah seperti yang dijelaskan oleh Baginda SAW :

حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ عَنْ عَبْدِ الْعَزِيزِ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ مُتَمَنِّيَ الْمَوْتِ فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتْ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتْ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

Maksudnya: "Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku."[3]

            Demikianlah fitnah yang akan menimpa manusia di akhir zaman. Sehingga digambarkan mereka seolah-olah meminta supaya ditamatkan riwayat hidup untuk menyelamatkan keimanan daripada terkena fitnah besar akhir zaman.   

Pengajaran :

1.      Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya. Sebaliknya dia mestilah mensifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan reda.

2.      Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.

3.      Allah S.W.T adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakkal kepada-Nya dalam segala keadaan.


[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim, Kitab Dhikr, doa, taubat dan Istighfar, Bab larangan bercita-cita untuk mati kerana ditimpa kesusahan, Hadith no.4843; al-Bukhari , Abu Dawud, Nasai, Ibn Majah dan  Ahmad
[2] Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Kitab Sakit, Bab Seberat-berat Ujian adalah Para Nabi dan Orang-orang yang mengikut jejak langkahnya. Hadith no.5216
[3] Hadith ini diriwayatkan oleh Ahmad, Baqi Musnad al-Mukathirin, Musnad Anas bin Malik, Hadith no.11541; Ibn Majah, Kitab al-Zuhd, Bab Mengingati Mati dan Persediaan Menghadapinya, Hadith no.4255, di nilai sahih oleh al-Albani

No comments:

Post a Comment