Monday 26 March 2012

Hadith 4 : Larangan Meminta-minta Jawatan dan Tamak Terhadapnya

حَدَّثَنَا شَيْبَانُ بْنُ فَرُّوخَ حَدَّثَنَا جَرِيرُ بْنُ حَازِمٍ حَدَّثَنَا الْحَسَنُ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَمُرَةَ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ أُكِلْتَ إِلَيْهَا وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا و حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ يُونُسَ ح و حَدَّثَنِي عَلِيُّ بْنُ حُجْرٍ السَّعْدِيُّ حَدَّثَنَا هُشَيْمٌ عَنْ يُونُسَ وَمَنْصُورٍ وَحُمَيْدٍ ح و حَدَّثَنَا أَبُو كَامِلٍ الْجَحْدَرِيُّ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ عَنْ سِمَاكِ بْنِ عَطِيَّةَ وَيُونُسَ بْنِ عُبَيْدٍ وَهِشَامِ بْنِ حَسَّانَ كُلُّهُمْ عَنْ الْحَسَنِ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ سَمُرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمِثْلِ حَدِيثِ جَرِيرٍ

Maksudnya : Shaiban bin Farukh telah menceritakan kepada kami , Jarir bin Hazim telah menceritakan kepada kami, al-Hasan telah menceritakan kepada kami, cAbd al-Rahman bin Samurah telah menceritakan kepada kami, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Wahai cAbd al-Rahman, janganlah kamu meminta jawatan, sebab jika kamu diberi jawatan kerana permintaan maka tanggungjawabnya akan dibebankan kepadamu. Namun jika kamu dilantik tanpa permintaan, maka kamu akan diberi pertolongan.”[1] 

4.1       Makna Seerti
Bil
Kalimah
Makna Seerti
1.
الْإِمَارَةَ
Berasal daripada kalimah “الأمير” yang memberi maksud pemimpin
2.
أُكِلْتَ إِلَيْهَا
Dibebankan dengan bebanan tanggungjawab tanpa pertolongan daripada Allah
3.
أُعِنْتَ عَلَيْهَا
Diberi pertolongan oleh Allah

4.2       Sharh al-Hadith

Hadith ini menjelaskan kepada kita tentang larangan Nabi SAW terhadap orang-orang yang meminta-minta sesuatu jawatan serta bermegah-megah dengan jawatan tersebut. Di dalam Islam, seseorang yang meminta-minta jawatan dilihat sebagai seorang yang tidak mempunyai jati diri yang tinggi serta mengharapkan belas ihsan daripada orang lain kecuali mereka yang benar-benar mempunyai pengalaman dan keahlian dalam bidang tersebut.

Terdapat beberapa perkara yang diperselisihkan oleh ulama’ di dalam hadith ini. Al-Qadi cIyyad berkata, kebanyakan riwayat menyebut lafaz “ أُكِلْتَ ” yang memberi maksud dibebankan tanggungjwab tersebut kepada peminta jawatan. Di dalam riwayat lain disebut dengan lafaz “وُكِلْتَ ” yang bermaksud akan diserahkan segala urusan kepadanya tanpa pertolongan berbeza dengan orang yang diberi jawatan tanpa memintanya.

Imam al-Nawawi ketika menyusun bab-bab di dalam Sahih Muslim, meletakkan hadith yang sama di dalam kitab al-Iman, bab sunat bagi sesiapa yang bersumpah melihat orang lain lebih berkelayakan daripadanya mengutamakan orang tersebut dan terhapuslah sumpahnya. Hadith ini disebut dengan lafaz “وُكِلْتَ ”. Beliau berbeza pendapat dengan al-Qadi di dalam menjelaskan riwayat yang paling banyak disebut. 

4.3       Pengajaran Hadith
1.      Umat Islam dilarang meminta-minta sebarang jawatan samada jawatan kerajaan, qadi dan sebagainya kecuali dalam keadaan terdesak.

2.      Orang yang meminta jawatan tidak akan mendapat pertolongan daripada Allah serta tidak akan mendapat keberkatan daripada pekerjaan tersebut.

3.      Orang yang meminta-minta jawatan besar biasanya ingin memenuhi kehendak nafsu dan berkemungkinan tidak dapat melaksanakan amanah tersebut dengan baik.


[1] Hadith Riwayat Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Larangan Meminta-minta Jawatan dan Rakus Terhadapnya, Hadith no.3401

No comments:

Post a Comment