حَدَّثَنَا
قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا لَيْثٌ ح و حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ رُمْحٍ حَدَّثَنَا
اللَّيْثُ عَنْ نَافِعٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ أَلَا
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى
النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ
بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا
وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ
مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya : Qutaibah bin Sacid telah menceritakan kepada kami, Laith telah menceritakan kepada kami. Di dalam jalur lain disebutkan bahawa Muhammad bin Rumh telah menceritakan kepada kami, Laith telah menceritakan kepada kami daripada Nafi’ daripada Ibn cUmar daripada Nabi SAW bersabda : “Ketahuilah bahawa setiap kalian
adalah pemimpin dan setiap kalian bertanggungjawab ke atas apa yang
dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin manusia akan bertanggungjawab ke atas
rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemimpin ke atas keluarganya, dan dia
bertanggungjawab ke atas mereka semua. Seorang wanita juga pemimpin ke atas
rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab ke atas mereka semua.
Seorang hamba adalah pemimpin ke atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab
atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab ke
atas kepemimpinannya.” [1]
Makna Kalimah :
1.
رَاع : Pemimpin,
penjaga amanah yang sentiasa membuat kebaikan.
2.
مَسْئُولٌ : Orang yang bertanggungjawab
terhadap sesuatu.
Huraian :
Islam telah menetapkan bahawa asas terhadap sesebuah kepimpinan
ialah berlemah-lembut terhadap yang dipimpin, memaafkan kesalahan mereka,
berbuat baik serta mengajak mereka melakukan perkara-perkara yang membawa kebaikan
bersama. Setiap manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing dan akan
dipertanggungjawabkan ke atas apa yang dipimpin. Meraka akan ditanya pada hari
kiamat kelak samada mereka menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan
kepada mereka atau sebaliknya.
Pemimpin sesebuah
negara bertanggungjawab menjaga kebajikan, keamanan dan keselamatan rakyatnya
dengan memastikan sistem ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan sebagainya
diurus dengan cekap dan bijaksana. Sistem kawalan keselamatan perlu diperkasa
setiap masa. Sistem ekonomi perlu dimantapkan agar negara tidak mengalami
krisis ekonomi yang parah pada jangka masa panjang. Sistem pendidikan yang
efektif perlu ditekankan serta mengambil kira pandangan Islam dalam semua aspek
tersebut.
Seorang lelaki atau suami bertanggungjawab memastikan kelangsungan
hidup isteri, anak-anak serta kaum keluarga kedua-dua belah pihak. Seorang isteri
pula bertanggungjawab menjaga anak-anak serta harta suami ketika suami tiada
dirumah. Malahan orang suruhan juga bertanggugjawab menjaga keselamatan rumah
tuannya. Ini menunjukkan bahawa Islam mengambil kira semua keadaan muslim daripada
sebesar-besar perkara sehingga sekecil-kecil urusan samada mereka kaya, miskin,
tua, muda dan sebagainya.
Pengajaran :
1.
Setiap
manusia merupakan pemimpin yang perlu menjaga amanah yang telah ditetapkan kepada
mereka.
2.
Seorang
pemimpin hendaklah memimpin dengan adil serta melakukan penambahbaikan dari
semasa ke semasa.
[1] Hadith
ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya,
Kitab Kepimpinan, Bab Kelebihan Imam Adil, Akibat Zalim Serta Galakan Supaya
Sentiasa Bersama Rakyat, Hadith
no.3408